RMK-12: 'Apa guna teruskan projek jika orang tak cukup makan?', soal Anwar

Hasimi Muhamad
September 28, 2021 06:00 MYT
Bekas Menteri Kewangan itu berkata, tumpuan seharusnya diberikan untuk meningkatkan mutu hidup rakyat yang terhimpit - Foto JAPEM
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan sepatutnya menangguhkan dan meneliti semula perlaksanaan projek-projek mega dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021-2025.
Membahaskan RMK-12, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, tidak ada gunanya kerajaan meneruskan projek mega sedangkan majoriti rakyat hidup dalam kesempitan.
“Parlimen ini harus beri tumpuan sepenuhnya untuk menuntut supaya RMK-12 ini berikan tumpuan (kepada Bumiputera).

DS @anwaribrahim menegaskan, sekiranya perlu, tangguhkan projek-projek besar, tegasnya: Apa faedah kita nak teruskan dalam keadaan orang kelaparan, menganggur, tak cukup makan, tak cukup mutu pendidikan. #SisiTVParlimen#DewanRakyat#AWANInews pic.twitter.com/7FiUgH37rz

— Astro AWANI (@501Awani) September 28, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
“Kalau perlu, tanguhkan projek-projek besar, tangguh projek lapangan terbang, pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan teliti semula Transit Aliran Massa 3 (MRT 3).
“Apa faedah kita nak teruskan (projek mega) dalam keadaan orang kelaparan, menggangur, dan mutu pendidikan kurang, ketika ini. Tangguh projek-projek besar, apa guna teruskan projek kalau orang tidak cukup makan,” katanya di Dewan Rakyat, di sini pada Selasa.
Membahas lagi, bekas Menteri Kewangan itu berkata, tumpuan seharusnya diberikan untuk meningkatkan mutu hidup rakyat yang terhimpit.
“Apa salahnya kalau kita tumpukan latihan, mutu kesihatan awam, dan mutu pendidikan kepada golongan miskin desa dan bandar dan beri keutamaan kepada bumiputra.
“Kita tidak peduli peruntukan soal syarikat berkaitan kerajaan (GLC), soal kontrak, yang mahu lahirkan ramai jutawan kerana ramai lagi, berjuta-juta bumiputera ini yang harus diberikan perhatian,” ujarnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan RMK-12 di Dewan Rakyat pada Isnin antaranya memaklumkan, rangkaian rel dan jalan raya bersepadu menghubungkan lapangan terbang dan pelabuhan dengan kawasan perindustrian, bandar serta luar bandar akan dipertingkat bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.
Jelas Perdana Menteri, infrastruktur dan utiliti asas yang berkualiti dan berdaya harap seperti jalan raya, rel, bekalan air dan elektrik adalah aspek yang sangat penting.
#Anwar Ibrahim #Bumiputera #RMK-12 #projek mega #ismail sabri yaakob