KUALA LUMPUR: Sasaran kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar menjelang 2025 menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) merupakan satu sasaran positif namun masih memerlukan beberapa perincian dan penambahbaikan.

Pensyarah Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK) Universiti Malaysia Kelantan, Prof Madya Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail berpendapat, jumlah ketua kepala dalam kategori miskin tegar di negara ini yang melebihi 260,000, serta isi rumah miskin tegar hampir mencecah satu juta, merupakan satu angka yang besar dan memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh daripada semua pihak.

"Dalam RMK-12, saya nampak kerajaan cuba gunakan pendekatan baharu yang dipanggil bottom up, bukan lagi top down iaitu kerajaan rancang dan komuniti buat.

"Tapi pendekatan ini ada kelemahan dari segi persediaan. Saya bimbang kalau kita minta komuniti dan NGO basmi kemiskinan dalam tempoh lima tahun ini, mereka mungkin tidak bersedia sepenuhnya.

"Saya cadangkan diwujudkan pendekatan yang lebih baik, iaitu partnership atau rakan kongsi. Ini akan melibatkan bukan sahaja komuniti tetapi juga industri, NGO, agensi dan banyak lagi," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, pada Selasa.

Beliau juga melihat petanda positif kesungguhan kerajaan apabila beberapa isu utama sebelum ini mula menjadi fokus, antaranya berkaitan akses pangkalan data.

"Akses pangkalan data merupakan kelemahan ketara kerana hanya golongan tertentu sahaja yang diberikan akses. Tetapi dalam RMK-12, kerajaan mula nampak hal ini, lebih ramai orang diberikan akses.

"Ini satu perkara yang baik kerana selepas pandemik, ramai yang hilang pekerjaan, mereka ini miskin yang dipanggil kemiskinan situasi. Mereka ini tak ada dalam data e-Kasih, mungkin ada dalam pangkalan data lain seperti Perkeso dan sebagainya.

"Jadi dengan adanya akses ini ia akan lebih memudahkan proses semakan dan penyenaraian," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan tahap kemiskinan dalam negara meningkat bukan sahaja kerana situasi pandemik tetapi juga penggunaan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang berbeza daripada sebelum ini.

"Sebelum ini kita pakai PGK 2005, tetapi bermula 2019 kita pakai PGK 2019, dan selepas itu kita nampak angka itu meningkat. Terkini dalam RMK-12, kerajaan perkenalkan ukuran indeks kemiskinan pelbagai dimensi.

"Sasaran mencapai 0.0026 peratus kemiskinan pada penghujung RMK-12 membuktikan kerajaan benar-benar berani dan yakin dengan perancangan mereka," tambahnya.


RMK12 | Kerajaan sasar basmi miskin tegar menjelang 2025