RMK-12 perlu jamin ekonomi kalis krisis

Najib Aroff
Januari 1, 2021 08:26 MYT
Selain itu Dr Yusof berkata satu penjajaran ekonomi harus dilakukan di bawah RMK-12 bagi memastikan setiap pelaburan yang di bawa masuk ke dalam negara bersesuaian dengan kepakaran modal insan negara. - Gambar fail
Kuala Lumpur: Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) harus memberi tumpuan kepada menjadikan ekonomi negara kalis krisis, mampan dan lestari.
Menurut Ketua Ekonomi Pusat Penyelidikan Pasaran Buruh Masa Hadapan Perkeso, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari, dokumen RMK-12 juga menjadi fasa pertama pembangunan dekad baharu demi mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama.
"RMK-12 melihat kepada keseluruhan agenda ekonomi. RMK-12 juga yang pertama digubal untuk mencapai sasaran Wawasan Kemakmuran Bersama.
"Fokus RMK-12 jelas untuk mewujudkan pembaharuan ekonomi, meletakkan kembali asas ekonomi kukuh yang kalis krisis.
"Kelestarian juga tidak hanya merujuk kepada alam sekitar sebaliknya ekonomi dan sosial. Ia termasuk pasaran buruh di mana kita mahu menjelang 2025 nanti akan ada perubahan baik kepada persekitaran dan ekonomi serta jurang pendapatan dirapatkan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam amanat tahun baharu berkata RMK-12 bakal memberi tumpuan kepada pemacu baharu ekonomi negara seperti ekonomi digital dan ekonomi hijau.
Satu strategi komprehensif juga akan diumumkan pada awal 2021 bagi memulih dan merancakkan semula ekonomi negara.
Pelbagaikan sumber ekonomi
Dr Yusof juga menegaskan RMK-12 juga harus memberi tumpuan kepada usaha mempelbagaikan sumber ekonomi berbanding hanya bergantung kepada sektor sedia ada.
"RMK-12 akan bertunjangkan kepada mempelbagaikan sumber ekonomi. Kita tidak boleh hanya bersandar kepada sumber pertumbuhan sedia ada," katanya.
Selain itu Dr Yusof berkata satu penjajaran ekonomi harus dilakukan di bawah RMK-12 bagi memastikan setiap pelaburan yang dibawa masuk ke dalam negara bersesuaian dengan kepakaran modal insan negara.
"Kita cuba mewujudkan pekerja serta graduan yang mahir namun agenda pelaburan terlalu berfokus kepada sektor berintensifkan buruh separa mahir.
"Jadi satu penjajaran harus dilakukan dan perkara ini akan termaktub dalam RMK-12.
"Ini penting kerana kita ketinggalan berbanding negara jiran lain kerana sejak 10 tahun lalu, agenda pembaharuan kita tidak jelas. Isu struktur tidak dibetulkan," katanya.
Malaysia dilihat ketinggalan berbanding negara jiran lain seperti Vietnam, Indonesia dan Singapura yang berjaya menarik masuk pelaburan asing dari gergasi teknologi.
Antara syarikat gergasi yang memilih negara jiran termasuk Facebook yang memilih Singapura untuk mewujudkan pusat data bina khas susulan subsidi syarikat pemula yang disediakan.
Selain itu ByteDance juga memilih Singapura sebagai lokasi strategik selain Tencent yang membuka peluang pekerjaan di negara itu.
Amazon pulan memilih Indonesia untuk perkhidmatan pengkomputeran awannya selain SpaceX yang sedang menilai untuk mewujudkan pusat pelancaran roket.
Manakala Vietnam pula berjaya menarik masuk pelaburan Apple Inc dan Samsung untuk penghasilan produk mereka.
#Muhyiddin Yassin #RMK12 #ekonomi #Belanjawan 2021 #Facebook #Apple