KUALA LUMPUR: AirAsia Group Bhd, saham ketiga paling aktif didagangkan di Bursa Malaysia pada Jumaat, jatuh 7.08 peratus selepas syarikat penerbangan tambang murah itu mengumumkan ia telah menetapkan tarikh kelayakan untuk terbitan hak yang boleh ditolak bagi Sekuriti Hutang Islam Boleh Tebus Boleh Tukar dan Tidak Bercagar (RCUIDS).

Pada penutupan, saham syarikat penerbangan tambang rendah itu merosot lapan sen kepada RM1.05, dengan 90.53 juta saham bertukar tangan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, AirAsia berkata ia telah menetapkan harga pelaksanaan warannya pada RM1.00, lebih rendah daripada premium 20 peratus kepada purata wajaran harga 30 hari sehingga dan termasuk 17 Nov 2021 sebanyak RM1.1763 sesaham.

Waran itu merangkumi sebahagian daripada program terbitan hak yang sedang berjalan termasuk penerbitan RCUIDS untuk mengumpul sehingga RM974.51 juta.

Ia juga menetapkan tarikh kelayakan dan tarikh akhir untuk terbitan hak boleh ditolak masing-masing pada 2 Dis, 2021 dan 1 Dis, 2021.

Dagangan untuk terbitan hak RCUIDS akan bermula dari 3 Dis hingga 10 Dis dengan tarikh pengeluaran ditetapkan pada 6 Dis. Hari dan masa terakhir untuk penerimaan, penolakan dan pembayaran adalah pada 17 Dis, 2021.

Keputusan langganan itu akan diumumkan pada 24 Dis, katanya.

AirAsia berkata RCUIDS akan disenaraikan pada 31 Dis 2021, masing-masing di bawah nama stok pendek, AIRASIA-LR dan nombor 5099LR.

-- BERNAMA