Harga saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) di Bursa Malaysia turun 3.5 peratus apabila kemelut lembaga pengarah syarikat itu semakin panas dengan cadangan penyingkiran Presiden/Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Zakaria Arshad.

FGV, yang memasuki senarai 10 saham cergas utama pada sesi pertengahan pagi, turun enam sen kepada RM1.67 dengan 14.29 juta saham diniagakan.

Dilaporkan bahawa Pengerusi FGV Tan Sri Mohd Abdul Isa Samad dikatakan mencadangkan langkah menyingkirkan Zakaria semasa mesyuarat lembaga pengarah baru-baru ini.

Beliau dikatakan menyatakan pembayaran lewat oleh sebuah syarikat Afghanistan, Safitex, yang mana sebuah anak syarikat FGV berurusan dengannya, sebagai alasan bagi penyingkiran itu.

Isa juga berkata keputusan yang diambil oleh lembaga pengarah itu adalah mengikut prosedur yang ditetapkan.

FGV, di bawah pentadbiran Zakaria dan Isa, kembali meraih keuntungan dalam suku pertama yang berakhir 31 Mac, 2017, mencatatkan keuntungan bersih RM2.46 juta berbanding kerugian bersih RM81 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Hasil meningkat 15 peratus kepada RM4.32 bilion daripada RM3.76 bilion.

-- BERNAMA