Saham syarikat pembuatan getah kedua terbesar di dunia, Supermax Corporation Berhad melonjak setinggi 6.9 peratus pada hari Isnin.

Lonjakan ini dipercayai berikutan permohonan maaf secara terbuka Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Stanley Thai kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Stanley memohon maaf kepada Perdana Menteri dalam sebuah sidang media pada hari Sabtu lepas berikutan berita permohonan maaf Stanley dan peletakan jawatan Pengerusi syarikat Tan Sri Rafidah Aziz berkuat kuasa April 14.

Rafidah dilantik sebagai Pengerusi syarikat berkenaan sejak 16 Jun, 2015.

Pada minggu lepas, Stanley turut membuat pengakuan bahawa beliau telah kesal kerana melibatkan diri dalam politik.

BACA: Rafidah Aziz letak jawatan Pengerusi Supermax

Supermax Corporation Berhad bermula sebagai peniaga dan pengeksport sarung tangan getah pada tahun 1987 sebelum menceburi bidang pembuatan pada tahun 1989. Ia adalah Pengilang Jenama Sendiri (OEM) terbesar di Malaysia dan pengeluar sarung tangan getah kedua terbesar di dunia, selepas Top Glove Corporation.

"Sebagai anggota komuniti perniagaan saya suka melihat kestabilan politik," kata Stanley dalam sidang media itu.

"Perniagaan yang beroperasi di Malaysia akan terus maju dengan dasar ekonomi yang kukuh dikendalikan oleh kerajaan pemerintah yang diketuai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib," katanya lagi.

Rekod menunjukkan bahawa beliau telah dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan didenda RM5 juta kerana didakwa menjalankan dagangan orang dalam (Insider Trading) pada bulan November lalu dan kini dalam proses rayuan terhadap hukuman itu.

Saham itu telah melonjak sebanyak 30 peratus sepanjang tahun ini.