KUALA LUMPUR: Sapura Energy Bhd mencatatkan untung bersih RM10.18 juta pada suku ketiga berakhir 31 Okt, 2022 (Q3) berbanding kerugian bersih RM669.34 juta pada suku yang sama tahun lalu.

Peningkatan dalam pendapatan adalah disebabkan oleh pengiktirafan yang lebih rendah bagi peruntukan untuk kerugian yang boleh dijangka, kos projek yang diiktiraf lebih rendah, susut nilai yang lebih rendah, bahagian keuntungan yang lebih tinggi daripada syarikat bersekutu dan usaha sama (JV), serta keuntungan pertukaran asing yang menggalakkan.

Bagaimanapun, hasil bagi suku dalam tinjauan susut 12.4 peratus kepada RM1.28 bilion daripada RM1.46 bilion sebelumnya.

Dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mohd Anuar Taib berkata walaupun masih banyak lagi yang perlu dilakukan, Sapura Energy berjaya merekodkan satu lagi suku yang lebih baik sambil meneruskan momentum dan pelaksanaan Pelan Tetapan Semula.

"Keutamaan kami sangat jelas, kami menumpukan kepada peningkatan aliran tunai dan pendapatan kumpulan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan, serta mengukuhkan pengurusan risiko dan operasi kami untuk kemampanan jangka panjang," katanya.

Mohd Anuar juga berkata kumpulan itu komited untuk terus menyemak semula kontrak-kontrak yang berprestasi rendah serta berunding semula bagi penyelesaian komersial dengan para pelanggan.

Perolehan nilai kontrak kumpulan itu pada masa ini berjumlah kira-kira RM6.8 bilion, manakala perolehan nilai kontrak yang tidak disatukan di bawah entiti JV kumpulan ialah kira-kira RM5.7 bilion.

Susulan daripada persetujuan Jawatankuasa Penstrukturan Semula Hutang Korporat Malaysia (CDRC) untuk membantu menjadi pengantara kepada Sapura Energy dengan pemberi pinjaman, kumpulan itu menyerahkan draf Cadangan Skim Penstrukturan Semula kepada CDRC pada 29 Sept, 2022.

-- BERNAMA