Kuala Lumpur: Pihak berkuasa kastam Amerika Syarikat (AS) menyekat import sarung tangan getah daripada syarikat Malaysia, Smart Glove atas dakwaan amalan buruh paksa, menjadikan ia syarikat kelima disekat oleh negara itu dalam tempoh 15 bulan.

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) menerbitkan Perintah Pelepasan Tahan (WRO) yang menghalang import daripada Smart Glove merangkumi Smart Glove Corporation Sdn Bhd, GX Corporation Sdn Bhd, GX3 Specialty Plant, Sigma Glove Industries dan Platinum Glove Industries Sdn Bhd.

CBP dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan bukti mencukupi yang menunjukkan kemudahan pengeluaran syarikat itu didakwa menggunakan buruh paksa.

Smart Glove, yang menghasilkan sarung tangan getah untuk kegunaan perubatan dan industri makanan, bagaimanapun, belum mengeluarkan sebarang kenyataan sebagai reaksi pada sekatan yang dibuat pihak berkuasa AS.

Syarikat Malaysia yang menghasilkan produk minyak sawit sehingga sarung tangan getah perubatan dan juga komponen produk Apple berdepan pertuduhan melanggar hak asasi sehingga kepada penggunaan buruh paksa.

Dalam kenyataan itu, CBP berkata, siasatan mengenal pasti 11 petunjuk buruh paksa yang digariskan oleh Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) di Smart Glove, namun tidak diperincikan apakah petunjuk itu.

Petunjuk ILO terhadap amalan buruh paksa merujuk kepada perlakuan tempoh bekerja berlebihan, ikatan hutang, keganasan fizikal dan keganasan serta persekitaran kehidupan dan pekerjaan yang daif.

AS sebelum ini menyekat pengeluar sarung tangan getah Supermax Corp, Top Glove , FGV Holdings Berhad dan Sime Darby Plantation atas tuduhan sama.

FGV dan Sime Darby kini melantik auditor untuk menilai amalan mereka dan berjanji akan berhubung rapat dengan CBP untuk menyelesaikan isu tersebut.