KUALA LUMPUR: Prestasi sektor perkhidmatan pada suku ketiga 2021 merekodkan hasil sebanyak RM391.0 bilion atau pertumbuhan negatif 8.7 peratus tahun ke tahun, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Menerusi Perangkaan Perkhidmatan Suku Tahunan, Suku Ketiga 2021, Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan itu disumbangkan oleh segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman selain penginapan, yang susut 9.5 peratus kepada RM313.3 bilion.

Ini diikuti segmen kesihatan swasta, pendidikan swasta dan kesenian, hiburan dan rekreasi, yang turun 21.4 peratus kepada RM10.9 bilion.

"Perbandingan prestasi mengikut subsektor memperlihatkan subsektor perdagangan borong dan runcit mencatatkan kejatuhan yang tertinggi dengan penurunan sebanyak RM30.2 bilion atau 9.1 peratus tahun ke tahun.

"Ini diikuti oleh subsektor kesenian, hiburan dan rekreasi dan pengangkutan dan penyimpanan, masing-masing merosot 80.6 peratus atau dan 12.3 peratus kepada RM0.7 bilion dan RM21.3 bilion pada suku ketiga 2021," kata Mohd Uzir.

Sementara itu, bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, jumlah hasil pada suku ketiga 2021 juga merosot 3.3 peratus dengan penurunan sebanyak RM13.5 bilion. Penurunan ini turut didorong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit dan kesenian, hiburan dan rekreasi, masing-masing merosot 3.4 peratus dan 66.4 peratus.

Jumlah pekerja dalam sektor ini ialah 3.7 juta orang, turun sebanyak 32,334 orang atau 0.9 peratus tahun ke tahun.

Kejatuhan ini disumbangkan oleh subsektor makanan dan minuman dengan penurunan sebanyak 11,548 orang atau 1.4 peratus, diikuti subsektor kesenian, hiburan dan rekreasi yang susut sebanyak 8,176 orang atau 18.8 peratus.

"Bagaimanapun, jumlah pekerja meningkat 1.0 peratus suku tahun ke suku tahun atau meningkat sebanyak 34,663 orang berbanding suku tahun sebelumnya," tambahnya.

Mohd Uzir berkata gaji dan upah yang dibayar juga mencatatkan penurunan sebanyak RM630.8 juta, jatuh 2.6 peratus tahun ke tahun.

Penurunan itu disebabkan oleh penguncupan dalam subsektor pengangkutan dan penyimpanan, susut 7.9 peratus kepada RM2.3 bilion dan diiringi oleh subsektor maklumat dan komunikasi, menurun 7.7 peratus kepada RM2.1 bilion.

Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, gaji dan upah mencatatkan peningkatan 1.8 peratus kepada RM24.1 bilion pada suku ketiga 2021.

"Prestasi sektor perkhidmatan yang lemah pada suku ketiga 2021 menunjukkan Malaysia masih bertarung dengan kesan pandemik COVID-19.

"Namun begitu, pelaksanaan Program Vaksinasi Kebangsaan yang giat dijalankan serta persediaan negara untuk menghadapi peralihan endemik COVID-19 dijangka dapat memulihkan ekonomi pada suku tahun akan datang, membolehkan lebih banyak aktiviti ekonomi beroperasi sepenuhnya." katanya.

-- BERNAMA