SHAH ALAM: Selangor mencatatkan pelaburan hampir RM10 bilion bagi suku ketiga tahun ini yang dipacu oleh pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk kesan positif ekonomi daripada langkah pembukaan sempadan negara.

Exco Industri dan Perdagangan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, jumlah tersebut disumbangkan oleh beberapa industri utama termasuk elektrik dan elektronik, makanan dan minuman, pembuatan serta peralatan.

“Jumlah tersebut menunjukkan prestasi pelaburan yang baik jika dibandingkan dengan tempoh sama pada tahun lalu, malah ia dirancakkan lagi dengan perjumpaan secara fizikal setelah kerajaan membenarkan pembukaan sempadan negara.

“Kita turut optimis bakal mencapai unjuran pelaburan sebanyak RM12 bilion pada tahun ini selain menyaksikan kejayaan penganjuran dua acara utama iaitu Pameran Penerbangan Selangor 2022 (SAS 2022) dan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS 2022),” katanya.

Prestasi Selangor | Optimis rekod pelaburan RM12 bilion tahun ini

Beliau berkata demikian pada sidang media Laporan Pasca Acara SAS 2022 dan SIBS 2022 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, pada Selasa.

Menurut Chang Khim, penganjuran SAS 2022 berjaya mencatatkan potensi nilai transaksi sebanyak RM1.174 bilion sepanjang tempoh tiga hari penganjuran acaranya di SkyPark RAC Subang pada September lalu.

“Pada acara berkenaan kita berjaya mengumpulkan keseluruhan 62 pempamer dari lima buah negara dan berjaya memeterai sebanyak 14 memorandum persefahaman (MoU) dalam pelbagai industri sub sektor aeroangkasa.

“Perjanjian tersebut turut meliputi pelbagai kerjasama seperti kajian dan pembangunan bagi industri aeroangkasa, lesen berkembar dan latihan pengangkutan pilot udara, pusat sehenti MRO bagi dron dan penyelenggaran pesawat amfibi,” ujarnya.

Tambah beliau, penganjuran SIBS 2022 turut berjaya merekodkan jualan berunding berpotensi tinggi dengan nilai RM1.45 bilion berbanding RM217.6 juta dicatatkan pada acara sama tahun lalu.

“Menerusinya kita berjaya memeterai sebanyak tujuh MoU dalam pelbagai kerjasama sub sektor industri.

“Acara SIBS dan SAS ini merupakan dua daripada pelbagai lagi acara yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Selangor menerusi agensi di bawah kami iaitu Invest Selangor dalam menyasarkan untuk membantu dan memulihkan aktiviti ekonomi sektor-sektor industri dan perkhidmatan terkesan pandemik COVID-19,” jelasnya.

Di atas kejayaan acaranya pada tahun ini, SIBS akan meneruskan penganjurannya pada tahun hadapan iaitu pada 19 hingga 22 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, manakala SAS dijadualkan berlangsung pada 7 hingga 9 September 2023 di SkyPark RAC Subang.