KUALA LUMPUR: Petunjuk keyakinan perniagaan bagi suku keempat 2021 adalah semakin baik berikutan kelonggaran sekatan ekonomi sejak pertengahan Oktober lepas, menurut Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

"Peniaga semakin yakin menjelang suku keempat 2021 dengan merekodkan petunjuk keyakinan -0.3 peratus berbanding -21.3 peratus suku tahun sebelumnya," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan hari ini.

Statistik Kecenderungan Perniagaan Bagi Suku Keempat 2021, berdasarkan Survei Kecenderungan Perniagaan yang dijalankan secara suku tahunan dikeluarkan hari ini dan memaparkan jangkaan prestasi perniagaan bagi suku tahun dan enam bulan yang akan datang.

Mohd Uzir berkata, survei itu menunjukkan kesemua sektor menjangkakan prospek perniagaan yang lebih baik dengan sektor industri dan perdagangan borong dan runcit melonjak ke trajektori positif.

"Sektor industri meramalkan pandangan positif iaitu 3.6 peratus pada suku tahun rujukan berbanding -11.0 peratus pada suku tahun lepas. Petunjuk keyakinan bagi sektor perdagangan borong dan runcit turut meningkat pada suku keempat 2021 kepada 3.3 peratus daripada -39.4 peratus," katanya.

Sektor perkhidmatan dan pembinaan menjangkakan prestasi perniagaan yang bertambah baik, walaupun berada dalam trajektori negatif dengan petunjuk keyakinan bagi sektor perkhidmatan berada di negatif yang lebih baik iaitu -1.3 peratus berbanding -22.8 peratus pada suku tahun sebelumnya.

"Bagi sektor pembinaan, ia mencatatkan petunjuk keyakinan negatif yang lebih kecil iaitu -40.4 peratus berbanding -45.0 peratus pada suku tahun lepas," katanya.

Merujuk kepada tinjauan perniagaan bagi enam bulan akan datang, keyakinan sektor industri, perniagaan borong dan runcit dan perkhidmatan merangsang imbangan bersih keseluruhan untuk merekodkan 24.1 peratus bagi tempoh Oktober 2021 hingga Mac 2022 berbanding -21.7 peratus sebelum ini.

Sektor industri meramalkan keadaan perniagaan yang kukuh dengan imbangan bersih 24.5 peratus bagi tempoh yang sama berbanding -11.8 peratus bagi Julai hingga Disember 2021.

Sektor perdagangan borong dan runcit optimistik terhadap situasi perniagaan untuk enam bulan ke hadapan dengan lonjakan imbangan bersih kepada 35.1 peratus daripada -59.7 peratus dicatatkan sebelumnya.

Secara khusus, subsektor perdagangan borong dan perdagangan runcit melonjak ke trajektori positif dan sektor perkhidmatan menjangkakan pandangan perniagaan yang positif dengan 24.3 peratus untuk enam bulan akan datang berbanding -14.2 peratus.

"Ia dicerminkan terutamanya oleh semua subsektor di bawah sektor perkhidmatan yang mencatatkan imbangan bersih positif kecuali subsektor hartanah dan teknologi maklumat dan komunikasi. Sebaliknya, sektor pembinaan kekal dalam zon pesimis dengan imbangan bersih lebih baik iaitu -18.4 peratus," katanya.

-- BERNAMA