SHAH ALAM: Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) hari ini merasmikan pelancaran Anugerah Peniaga E-dagang Utama Malaysia (Top ECM) 2022 bagi terus memperkasakan dan meraikan keusahawanan digital.

Top ECM yang memasuki edisi ketujuh itu disokong Affin Bank Berhad (Affin Bank) sebagai penaja utama dengan kerjasama platform e-dagang SUBPLACE yang antara lain mengiktiraf peniaga yang memanfaatkan platform e-dagang untuk pemasaran produk dan perkhidmatan dalam talian, di samping menyaksikan pertumbuhan cemerlang dalam jumlah jualan industri e-dagang sejak enam tahun lalu.

“Sama seperti bagaimana kita terpaksa menyesuaikan diri dengan pelbagai norma baharu, peniaga tradisional dan yang baru muncul juga perlu menyamakan kedudukan. Penting bagi mereka (peniaga) untuk mewujudkan kehadiran dalam talian sebagai vendor untuk berkembang maju.

“Pada 2016, hanya 60 peniaga e-dagang menyertai anugerah sulung ini. Sebagai perbandingan, pada 2021 menyaksikan peningkatan seramai 181 peniaga dengan hasil jualan berjumlah RM47 juta.

“Pertumbuhan mendadak ini menunjukkan industri e-dagang berkembang pesat, dan Sidec berada di sini untuk mengiktiraf pencapaian cemerlang ini selepas mencatatkan jumlah jualan RM123 juta dalam tempoh enam tahun yang lalu,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yong Kai Ping dalam satu kenyataan pada Selasa.

Top ECM yang memasuki edisi ketujuh itu disokong Affin Bank sebagai penaja utama dengan kerjasama platform e-dagang SUBPLACE. - Foto Sidec

Dalam pada itu, jelas Kai Ping, pihaknya turut komited membina ekonomi digital yang berkembang kini dengan memupuk perniagaan dalam ekosistem holistik baharu selaras visi kerajaan Selangor untuk menjadi “Negeri Pintar" yang boleh didiami di ASEAN menjelang 2025.

Sementara itu, anugerah Top ECM turut  menerima 440 penyertaan dan 228 peniaga berjaya disenarai pendek serta kesemua akan dinilai berdasarkan tiga kriteria, iaitu Peraduan Jualan dalam Talian (50 peratus); Peraduan Strim Langsung (25 peratus) dan Potensi Perniagaan (25 peratus).