SYARIKAT biofarmaseutikal dari China, Sinovac Biotech Ltd (Sinovac) akan melabur AS$2 bilion dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan AS$3 bilion bagi pengeluaran vaksin dan produk farmaseutikal besar-besaran dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Operasinya Qiang Gao berkata pada masa sama, syarikat itu juga berhasrat menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan serta pangkalan perindustrian di lebih 10 negara untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat tempatan, kerajaan tempatan dan rakyat di seluruh dunia.

"Sinovac telah menjalinkan kerjasama yang boleh dipercayai dengan pelbagai negara dan memperoleh lesen jualan produk antaranya vaksin COVID-19, hepatitis A dan influenza yang telah dijual di banyak negara termasuk Asia Tenggara," katanya.

Beliau berkata kepada media pada Sinovac Global Media Day di ibu pejabat vaksin Sinovac di sini yang dihadiri 84 wartawan dari 63 negara yang menyertai program anjuran Pusat Berita Komunikasi Antarabangsa China (CIPCC).

Menurutnya setakat bulan lepas, jumlah bekalan global vaksin Sinovac ialah sebanyak 2.88 bilion dos dengan 1.75 bilion dibekalkan untuk China manakala 1.13 bilion lagi kepada negara luar.

Beliau berkata sejak 20 tahun lepas, Sinovac telah membangunkan 13 jenis vaksin yang telah digunakan di lebih 80 negara dan rantau sekali gus memanfaatkan lebih tiga bilion individu selain percaya vaksin Sinovac dan produk farmaseutikal lain akan menembusi lebih banyak negara sekali gus menyumbang kepada kesihatan orang ramai.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kualiti dan Naib Presiden Sinovac Weining Meng berkata syarikat itu berminat untuk membantu negara lain memperkukuh penyelidikan dan pembangunan vaksin serta perkhidmatan kesihatan awam mereka.

Beliau berkata ia khususnya untuk membantu negara membangun membuat persediaan yang lebih baik bagi menghadapi jika berlaku pandemik seterusnya.

"Kami bukan sahaja bersedia menjadi pembekal vaksin yang boleh dipercayai malah rakan kongsi strategik bagi sekuriti kesihatan awam negara tersebut dengan menubuhkan beberapa industri vaksin tempatan, menubuhkan beberapa kemudahan pembangunan vaksin tempatan," katanya.

Sinovac membangunkan kilang vaksin di Chile dengan jumlah pelaburan 100 juta dolar pada Mei 2022 yang dijangka mampu menghasilkan 50 juta dos vaksin setahun apabila siap nanti dan selain itu, China turut menyumbangkan kemudahan penyimpanan sejuk vaksin kepada Mesir dengan kapasiti sehingga 150 juta dos vaksin.

Malaysia menerima penghantaran pertama vaksin COVID-19 Sinovac pada 27 Feb tahun lepas.

Terdahulu, wartawan dibawa melawat ke Makmal Kawalan Kualiti, yang telah menguji lebih daripada 3.5 juta dos lebih daripada dua bilion vaksin dan Bengkel Pukal Vaksin COVID-19 yang boleh menghasilkan kira-kira satu bilion dos vaksin COVID-19 (sel vero) secara pukal.

-- BERNAMA