Spicejet mungkin mulakan penerbangan Madurai-KL

Bernama
Mac 21, 2013 04:30 MYT
Syarikat penerbangan kos rendah India, Spicejet, kemungkinan besar memulakan operasi penerbangannya ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Madurai, yang dinaik taraf baru-baru ini menjadi sebuah lapangan terbang antarabangsa.
Penerbangan itu dijangka beroperasi menjelang akhir tahun ini, bergantung kepada kelulusan yang diperlukan daripada pihak berkuasa Malaysia dan India.
Satu sumber industri yang rapat dengan urus niaga berkenaan berkata Malaysia Airports Holdings Bhd telah berbincang dengan beberapa syarikat penerbangan India, dengan tujuan menarik mereka mengendalikan penerbangan ke Kuala Lumpur.
"Berikutan itu, Spicejet telah menunjukkan minat terhadap Malaysia dan prospeknya.
"Selain daripada Spicejet, pihak lain yang berpotensi ialah Indigo," kata sumber itu kepada Bernama, yang enggan namanya tidak disiarkan.
Kini, hanya Air India Express mengendalikan penerbangan langsung ke Malaysia manakala Jet Airways menghentikan operasinya tetapi terus dengan perkongsian kodnya bagi sektor Kuala Lumpur-Chennai bersama Malaysia Airlines.
Selain Air India, syarikat penerbangan utama yang lain di India ialah Indigo, Spicejet, GoAir, Jet Lite dan Jet Airways.
Dua syarikat penerbangan India yang cepat berkembang ialah Indigo dan Spicejet.
Sementara itu, Madurai adalah bandar raya ketiga terbesar di negeri Tamil Nadu di selatan India, yang mempunyai kira-kira 1.5 juta penduduk.
Madurai disifatkan sebagai bandar raya penting yang menempatkan kuil Hindu dan merupakan hab perindustrian dan pendidikan di selatan Tamil Nadu.
#India #SpiceJet