Strategi Belanjawan PH 2022: 12 fokus utama, suntik RM45 bilion pemulihan COVID-19

Astro Awani
Oktober 27, 2021 10:19 MYT
Antara 12 cadangan perbelanjaan PH termasuk menyokong pemulihan golongan rentan; mencipta peluang pekerjaan yang lebih baik dan mempertingkatkan jaringan keselamatan sosial.
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) menggariskan 12 fokus utama menerusi Strategi Belanjawan 2022 selepas terlibat dalam 13 sesi libat urus dengan kerajaan.
Antara cadangan yang dikemukakan PH termasuk peruntukan reformasi Parlimen, peruntukan dana COVID-19 sebanyak RM45 bilion dan perbelanjaan tambahan untuk merangsang usaha-usaha pemugaran dan pembinaan semula ekonomi yang lebih baik.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, terdapat beberapa kelompongan yang perlu ditambah baik kerajaan pada pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2022 itu.
"Dibangkitkan apa yang dikatakan kelompongan yang jelas dalam tindakan penanganan ekonomi akibat COVID-19.
"Ia termasuk peruntukan mengangkat semula industri kecil dan sederhana (IKS). Ini banyak ditekankan oleh Lim Guan Eng dan dipersetujui RM30 bilion untuk hal yang demikian," katanya.
Anwar berkata demikian ketika Majlis Pembentangan Bajet Pakatan Harapan 2022 di Kompleks Parlimen pada Rabu.
Beliau menegaskan, kerajaan juga perlu melaksanakan pendekatan yang lebih berani menerusi Bajet 2022.
"Kita mahu supaya pendekatan itu lebih berani ke depan dan lebih progresif termasuk dalam soal percukaian serta cakna jantina (gender responsive).
"Tentunya kita tidak maksudkan supaya Menteri Kewangan menjawab ini semua, tetapi mengambil kira dalam persiapan dan pelaksanaan bajet," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi PH, Tony Pua berkata, beliau yakin cadangan bajet PH ini akan diambil kira dan dimasukkan dalam Bajet 2022.
"Dokumen Strategi Bajet 2022 Pakatan Harapan telah disampaikan kepada pihak kementerian untuk diambil kira dan ditiru semua pun tidak apa.
"Kita bahagi hak kepada pihak kerajaan untuk tiru semua strategi bajet yang telah disampaikan,” katanya.
Bajet PH 2022 adalah berorientasi kepada usaha-usaha reformasi, inklusif dan responsif terhadap keperluan rakyat.
Antara 12 cadangan perbelanjaan itu termasuk menyokong pemulihan golongan rentan; mencipta peluang pekerjaan yang lebih baik dan mempertingkatkan jaringan keselamatan sosial.
Cadangan lain ialah mengukuhkan perkhidmatan sosial; memastikan taraf hidup dan mobiliti yang baik; melindungi wanita dan kanak-kanak dan membuat langkah-langkah khusus untuk Sabah dan Sarawak.
Di samping itu, menerusi strategi ini, cadangan lain yang dikemukakan ialah ‘reindustrialisation’ iaitu menggalakkan pelaburan bernilai tinggi; reformasi fiskal dan membuat geran-geran khas.
Sumber Facebook astroawani
#Anwar Ibrahim #bajet 2022 #Pakatan Harapan #Strategi Belanjawan 2022