KUALA LUMPUR: Sunway Construction Group Bhd menerima 2 surat hasrat (LOI) bagi menjalankan kerja-kerja berkaitan kemudahan jana kuasa tenaga solar fotovoltaik (PV) di bawah program tenaga solar berskala besar 4 (LSS4) berjumlah RM385 juta.

Dalam makluman di Bursa Malaysia semalam, kumpulan berkata, ia menerima LOI pertama daripada GBS Suria Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Gopeng Bhd bagi kerja-kerja berkaitan reka bentuk, kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pengujuain dan pentaulihan kemudahan jana kuasa yang dilengkapi dengan peralatan dan kemudahan sampingan.

Katanya, kemudahan jana kuasa ini dengan kapasiti 50MW terletak di Mukim Teja, Kampar, Perak membabitkan kontrak bernilai RM200 juta.

LOI kedua pula dikeluarkan Sharp Ventures Solar Sdn Bhd bagi kerja pembinaan kemudahan jana kuasa tenaga solar PV di Mukim Kapar, Klang, Selangor berjumlah RM185 juta.

Kontrak bagi projek ini membabitkan kerja-kerja mereka bentuk, kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pengujian dan pentauliahan kemudahan yang mempunyai kapasiti 50MW ini.

"Kedua-dua projek ini dijangka siap dan mencapai tarikh operasi komersial pada tarikh operasi komersial yang dijadualkan pada 31 Disember 2023 seperti ditetapkan Suruhanjaya Tenaga," katanya

Termasuk projek LSS4 ini, ia menjadikan jumlah projek baharu yang diraihnya bagi tahun ini berjumlah RM1.474 bilion.

Menurut Sunway Construction, kedua-dua projek berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan beakhir 31 Disember 2022.

Projek LOI pertama, ia merupakan Transaksi Pihak Berkaitan Berulang (RRPT) oleh Tan Sri Dr. Chew Chee Kin yang merupakan Pengarah Sunway Construction, yang juga Pengarah Sunway Bhd dan Gopeng Bhd termasuk pengarah beberapa anak syarikat Sunway Bhd.

Kumpulan itu turut menjelaskan bahawa perjanjian dengan GBS Suria adalah transaksi pihak berkaitan berdasarkan hubungan syarikat dengan keluarga Cheah.

"Sunway Construction telah memperoleh mandat pemegang sahamnya untuk RRPT ini yang dimeterai atau akan dimeterai oleh Sunway Construction dan anak-anak syarikatnya dengan Gopeng Bhd ketika Mesyuarat Agung Tahunan yang diadakan 25 Ogos lalu," katanya.


*Berita asal di DagangNews.com