BANGKOK: Syarikat induk Thai AirAsia, Asia Aviation Public Company Ltd (AAV), mencatatkan kerugian bersih 2.098 bilion Baht (100 Baht = RM12.69) pada suku ketiga berakhir 30 September 2021, meningkat 23 peratus daripada 1.837 bilion Baht dalam tempoh yang sama tahun lepas disebabkan penggantungan operasinya berikutan kemuncak pandemik COVID-19 pada suku berkenaan.

Hasil bagi suku tersebut susut 81 peratus kepada 457.5 juta Baht berbanding suku ketiga 2020 dan jumlah penumpang pada suku itu merosot sebanyak 96 peratus kepada 79,767 penumpang berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

"Ini selaras dengan penurunan sebanyak 95 peratus bagi tempat duduk tersedianya mengikut kilometer (ASK) berbanding tempoh sama tahun lalu. Faktor muatan pada suku itu ialah 60 peratus dan syarikat penerbangan berkenaan mengakhiri suku itu dengan 60 pesawat," katanya dalam makluman kepada Bursa Saham Thailand (SET) pada Jumaat.

Ketua Pegawai Eksekutif Asia Aviation dan Thai AirAsia Santisuk Klongchaiya berkata, pandemik COVID-19 berada di kemuncaknya pada suku ketiga dengan gelombang ketiga di Thailand bermula pada April.

"Keadaan itu telah memberi kesan kepada keuntungan AAV tetapi syarikat menerima inovasi dan peluang daripada pengurusan modal untuk mencari sumber pendapatan baharu untuk kekal berdaya saing dan berdaya maju," katanya.

Beliau berkata AAV melancarkan makanan AirAsia di Bangkok pada Ogos sebagai sebahagian daripada tawaran baharu dalam Super App AirAsia, platform gaya hidup yang telah melonjakkan perniagaan kepada lebih daripada sebuah syarikat penerbangan dan memberikannya akses kepada pangkalan pelanggan yang lebih luas manakala perkhidmatan kargo juga terus dibangunkan dengan pengembangan rangkaian Teleport.

Melangkah ke hadapan, Santisuk berkata dengan keadaan yang semakin baik di Thailand dan negara-negara jiran di rantau ASEAN, Thai AirAsia sedang melihat tanda-tanda pemulihan yang sangat menggalakkan mulai suku keempat tahun ini dan seterusnya, mengambil petunjuk daripada tindak balas yang sangat positif dalam segmen perjalanan domestik.

-- BERNAMA