Syarikat penerbangan mana yang terbaik menurut AirlineRatings.com?

Malik Ridhwan, Luqman Hariz
Disember 2, 2015 10:19 MYT
Air New Zealand dinobat Syarikat Penerbangan Terbaik Tahunan buat tahun ketiga berturut. - Gambar fail
Syarikat penilai penerbangan atas talian, AirlineRatings.com menerbitkan senarai anugerah kecemerlangannya buat penyedia perkhidmatan penerbangan terbaik dunia.
Antara kategori yang dinilai AirlineRatings.com termasuk Syarikat Penerbangan Terbaik Tahunan, Perkhidmatan Anak Kapal Terbaik serta Penyedia Penerbangan Kos Rendah Terbaik.
Syarikat Penerbangan Terbaik: Air New Zealand. - Gambar AirlineRatings.com
Secara keseluruhannya, Air New Zealand dinobat Syarikat Penerbangan Terbaik Tahunan buat tahun ketiga berturut.
Menurut AirlineRatings.com, ini kerana penerbangan tersebut terus mencatatkan inovasi serta memperkenalkan teknologi terbaru di samping memberikan komitmen kukuh terhadap pemeliharaan alam sekitar.
Air New Zealand turut memenangi Kelas Ekonomi Premium Terbaik dan Kelas Ekonomi Terbaik. - Gambar AirlineRatings.com
Tambahnya, Air New Zealand juga pada masa yang sama berjaya mencatatkan prestasi kewangan yang memberangsangkan dan tahap keselamatan operasi yang kukuh.
Antara inovasi yang dicatatkan syarikat penerbangan ini termasuk sistem mengesan kanak-kanak yang terbang bersendirian serta aplikasi telefon pintar yang membolehkan penumpang memilih kopi kegemaran mereka sebelum menaiki penerbangan.
Anugerah Penyedia Kelas Pertama Terbaik: Etihad Airways. - Gambar Etihad Airways
Sementara Anugerah Penyedia Kelas Pertama Terbaik dirangkul Etihad Airways.
Menurut AirlineRatings.com, syarikat penerbangan berpusat di Abu Dhabi itu berjaya memperkenalkan satu standard baru buat sektor pelancongan mewah dalam hanya 12 tahun kewujudannya.
Kabin The First Apartment dalam penerbangan A380 Etihad Airways. - Gambar Etiahd Airways
Sementara itu, AirlineRatings.com turut memilih empat penerbangan bagi kategori Penerbangan Kos Rendah iaitu Virgin America bagi benua Amerika, Scoot bagi Asia Pasifik, Kulula.com bagi Timur Tengah dan Afrika serta Norwegian untuk benua Eropah.
Penerbangan Jarak Jauh Terbaik (Amerika): Delta Airlines. - Gambar AirlineRatings.com
Menurutnya selaku kategori paling kompetitif, kesemua syarikat ini berjaya memberikan pelanggan perkhidmatan paling jimat nilai dan keupayaan melancong bagi berjuta orang yang tidak mampu berbuat demikian sebelum ini.
Penyedia Makanan Terbaik: Qantas. - Gambar AirlineRatings.com
Sementara Qantas dianugerahkan gelaran Penyedia Makanan Terbaik buat tahun kedua berturut-turut.
Menurut AirlineRatings.com syarikat penerbangan Australia itu merupakan peneraju dalam aspek ini dengan menyediakan empat pilihan makanan bagi pelanggan di samping memberikan saiz hidangan dua kali ganda.
Anugerah Anak Kapal Terbaik: Virgin Australia. - Gambar AirlineRatings.com
Virgin Australia dan Virgin Atlantic berjaya memperolehi Anugerah Anak Kapal Terbaik buat tahun kedua berturut-turut.
Menurut AirlineRatings.com, kedua syarikat berjaya menunjukkan bahawa mereka mampu memberikan khidmat pelanggan terbaik kepada pelanggan tidak kira mereka di kelas mana.
#Air New Zealand #Airline Ratings #Etihad #Qantas #Virgin Atlantic #Virgin Australia