Tabung kanak-kanak jalinan budi Tesco raih dana RM1 juta

Azyyati Ahmad
November 7, 2015 08:27 MYT
Dana yang diterima akan digunakan bagi membantu kanak-kanak kurang bernasib baik membabitkan lebih 56 rumah kebajikan.
Sejumlah RM1 juta dana berjaya dikumpul melalui Majlis Makan Malam Gala Amal Sinaran Jalinan Budi anjuran Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd pada Jumaat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Paul Ritchie, jumlah itu menepati sasaran yang ditetapkan sejurus Tabung Kanak-Kanak Jalinan Budi dilancarkan Jun lalu dengan kutipan RM500,000.
Ritchie berkata dana tersebut akan digunakan bagi membantu kanak-kanak kurang bernasib baik membabitkan lebih 56 rumah kebajikan.
Pada masa sama, dana itu akan digunakan bagi membantu kanak-kanak yang menderita akibat leukemia.
Malah melalui dana tersebut, Tesco turut menghulurkan bantuan kemanusiaan antarabangsa menerusi sumbangan kaki palsu, khususnya untuk kanak-kanak Palestin yang cedera akibat konflik.
Duta Palestin ke Malaysia, Datuk Dr Anwar Al Agha yang turut hadir dalam majlis tersebut berkata pihaknya telah mengenal pasti 13 kanak-kanak Palestin dari Tebing Barat untuk dibawa ke Malaysia bagi menerima bantuan kaki palsu dan fisioterapi.
Mereka dijangka tiba di Malaysia dalam tempoh dua minggu lagi.
Dana tersebut diserahkan kepada tetamu kehormat Majlis Makan Malam Gala Amal Tesco, Tun Dr Siti Hasmah Ali.
Hadir sama, mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad; pengarah operasi Agensi Bantuan Pemulihan dan Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (URNWA) bagi Palestin di Jordan, Roger Davis.
Majlis anjuran Tesco itu mendapat kerjasama Universiti Malaya (UM) serta Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
#Gala Amal #majlis makan malam #Paul Ritchie #Sinaran Jalinan Budi #Tesco