Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan terlalu banyak faedah yang bakal diraih daripada pembentukan komuniti ASEAN khususnya dari segi ekonomi sekaligus memanfaatkan kehidupan harian semua warganya.

Dengan unjuran, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN sebanyak US$4.7 trilion (RM20 trilion) menjelang 2020, ASEAN bakal menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia seawal 2030.

Justeru usaha kini perlu tertumpu ke arah penubuhan pasaran tunggal ASEAN selaras dengan usaha menjadikan industri pembuatan lebih kompetitif dalam pasaran global dan mengurangkan kos untuk semua.

"Kita kini perlu memastikan yang kita mewujudkan pasaran tunggal dan berasaskan pengeluaran dengan pergerakan lebih bebas barangan dan perkhidmatan. Untuk itu, kelebihan dari segi keseragaman piawaian dapat meningkatkan kesalinghubungan bagi rantau ini," katanya ketika berucap pada Majlis Pemeteraian Deklarasi Kuala Lumpur 2015 bagi penubuhan komuniti ASEAN dan Deklarasi Kuala Lumpur bagi ASEAN 2025: Bersama Melangkah Ke Hadapan.

Namun, lebih daripada itu, kata Najib, pembentukan komuniti ASEAN dilihat mampu menyatupadukan rakyat serantau dalam satu semangat kekitaan.

"Erti komuniti ASEAN lebih daripada itu. Ia juga mengenai kita semua sebagai ASEAN, mengiktiraf bahawa sesuatu yang istimewa menyatukan kita, dan menjadikan semua warga kita merasai ASEAN sebagai denyut nadi mereka. Itu sebenarnya yang akan menjadikan komuniti ini satu realiti," katanya.


Najib disertai pemimpin sembilan lagi negara Asia Tenggara menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur 2015 bagi Pembentukan Komuniti ASEAN hari ini.

Mereka juga menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur bagi ASEAN 2025: Bersama Melangkah Ke Hadapan, dokumen yang menggariskan hala tuju komuniti itu untuk 10 tahun akan datang.

Selain Najib, dokumen itu ditandatangani oleh Sultan Brunei Darussalam Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen, Presiden Indonesia Joko Widodo, Perdana Menteri Laos Thongsing Thammavong, Presiden Myanmar U Thein Sein, Presiden Filipina Benigno S. Aquino, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha dan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Tan Dung.