KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) menawarkan perkhidmatan bayaran 'dam' (denda) dan korban secara dalam talian melalui aplikasi THiJARI bermula 9 Mei ini bagi bakal jemaah haji yang akan melaksanakan Rukun Islam kelima pada tahun ini.

Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi TH Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata perkhidmatan itu bagi menggalakkan pelaksanaan bayaran pada kadar yang ditentukan sebelum jemaah tiba di Tanah Suci Mekah.

"Pembayaran dam yang diterima ialah untuk Dam Haji Tamattu' dan Dam Haji Qiran di mana daging dam ini akan diagihkan kepada penduduk yang layak di Mekah.

"Manakala daging korban akan diagihkan oleh Bank Pembangunan Islam (IDB) kepada penduduk Islam yang layak terutama di benua Afrika," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata pembayaran dam adalah dengan kadar RM590 bagi seekor kibas manakala pembayaran korban pula pada kadar RM955.80 untuk seekor kibas dan RM5,900 untuk seekor lembu.

"Bakal haji dan pendeposit juga boleh membuat bayaran di mana-mana cawangan pejabat TH di seluruh negara," katanya.

Sementara itu, THiJARI kini menawarkan pelbagai perkhidmatan dalam talian antaranya pindahan melalui FPX, permohonan pembukaan akaun TH, rayuan haji, kemas kini maklumat peribadi dan yang terbaharu adalah Semakan Terimaan Tawaran Haji serta banyak lagi.

Bagi sebarang pertanyaan, sila hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian +603 - 6207 1919; Faks: +603 - 7728 4959 dan e-mel : [email protected].

-- BERNAMA