KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyangkal dakwaan Ahli Parlimen Subang daripada PKR,  Wong Chen yang mendakwa Bajet 2022 yang dibentangkan di Parlimen Jumaat lalu mempunyai unsur perkauman.

Jelas beliau, kenyataan Wong Chen itu bermungkinan kerana Ahli Parlimen berkenaan gagal memahami dan membaca keseluruhan isi kandungan Bajet 2022 yang dibentangkan.

“Macam mana pulak unsur perkauman? Saya ingat dia tidak faham pasal bajet bila dia tak baca. Saya sudah umumkan untuk Kampung Baru Cina ada, untuk masyarakat India ada, saya sebut semua sekali.

“Bajet ini inklusif semua sekali. Malah kita sebut satu persatu, untuk kaum Cina apa dia, untuk kaum India apa dia, untuk Orang Asli apa dia, untuk Sarawak apa dia, terperinci satu persatu. Jadi mungkin dia tak baca, itu yang dia tidak faham, “ jelas beliau pada sidang media pada Rabu.

Bajet 2022 | Tiada unsur perkauman dalam Bajet 2022


Apapun jelas beliau lagi, semua kekeliruan mengenai Bajet 2022 tersebut akan dijawab oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen termasuk pada sesi penggulungan Bajet 2022 nanti.

Bajet 2022 telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan di Parlimen pada Jumaat lalu dengan menyaksikan perbelanjaan terbesar dalam sejarah dengan peruntukan berjumlah RM332.1 bilion.

BACA: Bajet 2022: Kerajaan bentang belanjawan berjumlah RM332.1 bilion, tertinggi dalam sejarah