KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk memperkenalkan cukai baharu seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pengenalan cukai baharu bakal menjejaskan tumpuan kerajaan ketika ini untuk memulihkan ekonomi negara.

"Kami (Kementerian Kewangan) telah membentuk jawatankuasa sejak dua tahun lalu untuk melihat cara untuk meningkatkan hasil negara termasuk meninjau langkah bagi mengurangkan ketirisan hasil," katanya pada sidang media Pra-Bajet 2022 dan Kertas Konsultasi Awam di Kementerian Kewangan pada Jumaat.

Pada Selasa, Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan kutipan cukai langsung bagi 2021 setakat Julai berjumlah RM67.4 bilion atau 56.2 peratus daripada sasaran, manakala cukai tidak langsung mencatatkan kutipan sebanyak RM24.8 bilion atau 59 peratus daripada sasaran.

Bagi 2021, sasaran kutipan hasil cukai adalah berjumlah RM162.1 bilion, 10.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan ia merangkumi kutipan cukai langsung sebanyak RM120 bilion dan cukai tidak langsung berjumlah RM42.1 bilion.

Prestasi kutipan hasil bagi separuh pertama 2021 adalah rendah berbanding dengan anggaran dan kutipan seterusnya dijangka berkurangan ekoran pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjejaskan aktiviti perniagaan dan pendapatan peniaga, selain menyebabkan pertambahan mereka yang kehilangan pendapatan.