KUALA LUMPUR: Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh bank pusat, Bank Negara Malaysia (BNM) adalah antara faktor kadar inflasi di negara ini lebih rendah berbanding beberapa negara lain.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Prof Ahmed Razman berkata pengumuman Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Isnin yang memaklumkan Kadar Inflasi Malaysia adalah pada paras 4.4 peratus untuk bulan Julai 2022, menunjukkan inflasi di negara ini lebih terkawal.

"Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menaikkan kadar OPR bermula bulan Mei dan sekali lagi bulan Julai itu tindakan proaktif dalam menaikkan kadar OPR sebelum kadar inflasi naik lebih tinggi lagi.

"Apabila kita lihat kadar inflasi pada Julai walaupun meningkat kepada 4.4 peratus tetapi ianya masih lagi dianggap rendah jika dibanding Singapura 7 peratus pada Julai, Thailand 7.6 peratus dan Indonesia 4.9 peratus," katanyanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Isnin.

Tambah Ahmed lagi, intervensi oleh kerajaan dalam bentuk subsidi juga antara faktor lain yang turut menyumbang kepada kadar inflasi dialami negara ini masih rendah.

Malah tambahnya, menerusi beberapa pendekatan antaranya Pasukan Tangani Jihad Inflasi juga dapat menentukan kawalan harga barangan tertentu lebih terkawal di pasaran.

"Apabila kita lihat adakah kenaikan kadar OPR membantu mengurangkan kadar inflasi, saya melihat sebenarnya intervensi dari kedua-dua pihak daripada BNM dan Kerajaan Persekutuan berbentuk subsidi sebenarnya menyebabkan kadar inflasi kita ini masih lagi rendah tidak setinggi krisis global kita alami pada tahun 2008, krisis kewangan Asia tahun 1998.

"Kesan terhadap harga makanan dan minuman ini ia tidak boleh diselesaikan serta-merta, sebab ia banyak faktor menyebabkan harga barangan naik, sama ada faktor dalaman dan luaran gangguan cuaca, gabungan rantaian bekalan, krisis geopolitik dan sebagainya," katanya lagi.

BACA: OPR naik 25 mata asas ke 2.25 peratus

BACA: Inflasi Julai 2022 cecah 4.4 peratus, tiga negeri lepasi paras nasional

Ketika menjawab soalan sekiranya akan berlaku lagi kenaikan OPR, Ahmed menjangkakan sebanyak 25 mata asas akan dinaikkan dalam tempoh beberapa bulan ini.

Bagaimanapun ujarnya, kenaikan itu dipercayai kenaikan maksimum seperti mana jaminan yang diberikan BNM sebelum ini.

"Kalau kita rujuk kenyataan daripada BNM, mereka memberi jaminan kadar OPR tidak akan dinaikkan dengan drastik sehingga hujung tahun ini seperti mencapai kadar sebelum pandemik iaitu sekitar 3.25 peratus.

"Kalau kita lihat kadar OPR sekarang masih rendah, ada satu lagi peningkatan (mungkin) bulan September ini 25 mata asas menjadikan OPR 2.5.

"Saya ingat itu paling maksimum BNM akan letak tahun ini kerana bergantung kepada faktor akhir tahun, prospek bekalan makanan adakah kerajaan berjaya menyelesaikan beberapa isu jangka masa pendek berkaitan dengan harga barangan ini," katanya lagi.