KUALA LUMPUR: Pengasas AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dilaporkan sedia untuk berundur daripada barisan hadapan industri penerbangan itu bila-bila masa.

Memetik laporan Bloomberg, beliau dikatakan merancang untuk meneroka bidang baharu seperti kesihatan, pendidikan dan ekuiti swasta.

Dalam satu temuramah di Singapura baru-baru ini, Tony, 58, memaklumkan perjalanan beliau bersama industri penerbangan mungkin akan berakhir tidak lama lagi.

"Kepimpinan yang baik tahu hala tuju ke mana ke pergi.

"Maka berakhirlah sudah perjalanan saya dalam syarikat penerbangan. Sekarang yang terbaik adalah saya berbicara mengenai perancangan penggantian.

"Tapi saya tidak pasti bila masa yang tepat untuk saya tekan butang (berhenti), tetapi saya sudah perlu bercakap mengenai pelan terbabit kerana saya mahu menarik pemimpin yang berwibawa dan betul," katanya.

Seperti syarikat penerbangan lain, AirAsia, Kumpulan yang diasaskan Tony Fernandes, terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Akibatnya, syarikat penerbangan tambang rendah itu terpaksa menutup operasi sekutunya di India dan Jepun, namun masih kekal beroperasi di Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina.

Baru-baru ini, AirAsia juga ingin mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat penerbangan serantau dengan memperkenalkan AirAsia Cambodia.