KUALA LUMPUR: Meskipun berlaku ketidaktentuan selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 diumumkan namun kestabilan yang dicapai susulan pelantikan Perdana Menteri Malaysia ke-10 akan memberi impak positif kepada pasaran hartanah komersial dan perindustrian pada 2023.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Irhamy Valuers International, Irhamy Ahmad berkata transaksi dijangka meningkat sejajar dengan keyakinan pelabur.

Beliau berkata prestasi ekonomi 2023 negara ini diunjurkan disokong oleh asas yang kukuh serta struktur ekonomi Malaysia yang pelbagai.

"Sokongan dasar yang berterusan akan meredakan kesan kenaikan kos sara hidup dan mengurangkan risiko penurunan yang berpunca daripada ketidaktentuan geopolitik yang berlanjutan di samping keadaan kewangan global yang semakin ketat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Irhamy Valuers International merupakan sebahagian daripada syarikat teknologi hartanah global, Juwai IQI.

Irhamy berkata sektor hartanah komersial, perindustrian dan logistik dijangkakan sibuk dalam jangka masa sederhana berdasarkan pertanyaan lebih tinggi yang diterima daripada sekor korporat.

Jumlah transaksi hartanah semua sektor meningkat 36 peratus pada separuh pertama 2022 manakala transaksi komersial dan perindustrian menyumbang 29.3 peratus kepada nilai transaksi keseluruhan, bersamaan kira-kira RM24.77 bilion.

Beliau berkata bilangan transaksi komersial meningkat dalam setiap julat harga, dengan jalur harga tertinggi menunjukkan kadar pertumbuhan tertinggi pada 54 peratus.

"Nilai transaksi pada separuh pertama 2022 adalah jauh lebih tinggi daripada paras sebelum pandemik berlaku, yang secara relatifnya kekal stabil pada 2018 dan 2019.

"Kami yakin nilai transaksi akan terus meningkat sehingga tahun 2023, tetapi lebih sederhana.

"Pertumbuhan akan kembali kepada keadaan yang jauh lebih sama dengan aliran sebelum ini disebabkan perbandingan asas yang lebih tinggi apabila kita melepasi angka yang sangat rendah pada 2020 dan 2021," katanya.

-- BERNAMA