Syarikat rangkaian sosial, Twitter Inc, hari ini mengesahkan bahawa seramai 336 pekerja, iaitu kira-kira 8% daripada tenaga kerjanya akan dihentikan perkhidmatan mereka, sebagai sebahagian dari penstrukturan semula syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Twitter, Jack Dorsey berkata pengurangan tenaga kerja itu diperlukan untuk mempercepatkan inovasi syarikat itu. Malah, tindakan ini diyakini akan dapat membantu Twitter untuk lebih kukuh dan berkembang.

Memetik laporan BBC, Dorsey mengesahkan pemberhentian itu melalui surat yang dihantar kepada pekerja dan kemudian membuat pengumuman menerusi akaun Twitternya.


Dalam surat tersebut, Dorsey berkata: "Kami telah membuat keputusan yang amat sukar - kami merancang untuk mengurangkan seramai 336 pekerja dari seluruh syarikat.

"Kami melakukan ini dengan rasa penuh hormat bagi setiap individu dan kami sanggup melakukan apa sahaja untuk menjaga setiap pekerja. Twitter akan menyediakan pampasan yang wajar serta membantu mencarikan pekerjaan alternatif.”

Setakat Jun tahun ini, syarikat itu dilapor menggajikan kira-kira 4,100 pekerja, iaitu dua kali ganda daripada jumlah pekerja pada suku kedua tahun 2013.

Namun, pertumbuhan penggunanya dilihat tidak sejajar dengan peningkatan pekerja di Twitter.

Difahamkan, saham indeks perdagangan Twitter jatuh 3.1 peratus kepada US$29.90 (RM124) pada Jumaat dan secara keseluruhan, saham Twitter merosot kira-kira 14 peratus tahun ini.