SEHARI sebelum Krismas, Ara memulakan perjalanan sebagai pemandu Uber seperti biasa. Kereta hibrid Toyota Insight miliknya mula berlegar untuk mencari penumpang.

Memandangkan Uber sudah diisytihar sah di London, Marvin mendapatkan perkhidmatan Ara dari Hackney ke Hoxton dengan tambang lima pound (RM32).

Apa yang tidak mereka ketahui ketika itu ialah pertemuan tersebut disahkan Uber melengkapkan satu bilion perjalanan bagi syarikat pengangkutan on-demand nombor satu dunia itu.

Sejarah kejayaan Uber sememangnya mengagumkan. Bermula dengan hanya dua buah kereta pada tahun 2009, syarikat yang berpangkalan di San Francisco itu mencatat sejuta perjalanan sehari pada tahun 2014.

Setahun kemudian, Uber terus mara dengan tiga juta perjalanan sehari di 66 buah negara termasuklah Malaysia.

Kejayaan Uber bagaimanapun tidak datang bergolek. Kehadiran syarikat ini telah mencetuskan penentangan dalam kalangan pemandu teksi tempatan di banyak negara.


BACA: Pemandu teksi tidak benar ‘halalkan’ Grabcar, Uber

BACA: Pekerja Taco Bell dipecat setelah pukul pemandu Uber

VIDEO: Sao Paolo larang penggunaan Uber


Bagi meraikan pencapaian perjalanan satu bilion, Uber telah memberikan hadiah percutian ke mana-mana bandar pilihan Ara. Bagi Marvin pula, dia menerima hadiah perjalanan Uber percuma selama setahun.

Paling istimewa, Uber turut menderma kepada Hackney Pirates, sebuah badan kebajikan yang memberi tumpuan kepada pendidikan dan pembangunan kanak-kanak berusia sembilan hingga 12 tahun di Hackney, bandar kecil tempat perjalanan Ara dan Marvin bermula.