KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih CIMB Group Holdings Bhd melonjak kepada RM1.28 bilion menjelang suku kedua berakhir 30 Jun 2022 berbanding RM1.08 bilion yang dicatatkan dalam suku yang sama tahun sebelum ini disebabkan pendapatan operasi yang lebih kukuh, manakala perbelanjaan operasi menurun.

Perolehan meningkat kepada RM4.88 bilion daripada RM4.62 bilion, kata kumpulan perbankan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia pada Selasa.

CIMB berkata pendapatan operasinya sebanyak RM4.89 bilion pada suku yang dikaji adalah 5.7 peratus lebih tinggi berikutan peningkatan dalam pendapatan faedah bersih (NII) serta pendapatan bukan faedah (NOII).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Abdul Rahman Ahmad dalam satu kenyataan berasingan berkata pertumbuhan pendapatan yang kukuh, disiplin kos yang berterusan serta peruntukan yang lebih rendah di semua perniagaan dan pasaran telah menyumbang kepada prestasi positif pada separuh pertama 2022.

"Kami melihat trend peningkatan dalam pinjaman termasuk deposit kami, yang masing-masing mencatatkan pertumbuhan sihat sebanyak 6.8 peratus dan 5.7 peratus, berikutan usaha membentuk semula portfolio kami sudah mula membuahkan hasil," katanya.

Jumlah pinjaman kasar Kumpulan CIMB pada separuh pertama 2022 menokok sebanyak 6.8 peratus kepada RM394.3 bilion dari tahun ke tahun manakala jumlah deposit menambah 5.7 peratus dari tahun ke tahun kepada RM444.3 bilion.

Bagi CIMB Islamic, pendapatan operasi meningkat 8.0 peratus dari tahun ke tahun pada separuh pertama 2022 dengan pembiayaan Islam berkembang sebanyak 15.7 peratus, manakala deposit naik 8.0 peratus.

Kumpulan itu mencadangkan dividen interim pertama sebanyak 13 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2022, merangkumi 2.60 sen dalam bentuk tunai dan 10.40 sen dalam skim pelaburan semula dividen.

Ini mencecah sehingga RM1.36 bilion, menghasilkan nisbah pembayaran dividen sebanyak 50 peratus, sejajar dengan dasar dividen kumpulan.

Abdul Rahman ketika mengulas mengenai prospek menjelaskan kumpulan itu kekal yakin untuk mencapai prestasi kewangan yang positif dan kini berada di landasan yang betul bagi melepasi sasaran tahun kewangan 2022 yang merentasi semua metrik keuntungan.

Beliau berkata kumpulan itu akan terus berpandukan pelan strategik Forward23+ untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai bank peneraju ASEAN yang utama, sambil membina momentum positif pertumbuhan aset, membendung peningkatan kos dan kos kredit yang sederhana.

"Kami komited untuk terus memudahkan serta menyokong daya tahan kewangan pelanggan kami dalam beralih ke arah pemulihan ekonomi, dan pada masa yang sama menyediakan penyelesaian perbankan serta digital yang lengkap bagi memenuhi keperluan semua pelanggan kami melalui inovasi teknologi dan pelaburan," katanya.

Sementara itu, pada sidang media secara maya mengenai prestasi kewangan separuh pertama 2022 bank itu, Abdul Rahman berkata kumpulan itu menjangkakan pertumbuhan pinjaman menyederhana berikutan kenaikan kadar faedah dan kos khidmat faedah yang bertambah mahal.

"Permintaan untuk pinjaman akan terjejas, tetapi pada masa ini, pertumbuhan pinjaman sangat kukuh pada separuh pertama tahun disebabkan oleh pemulihan dan penyambungan semula aktiviti ekonomi. "

Bagaimanapun, kumpulan itu menjangkakan akan dapat memenuhi sasaran pertumbuhan pinjamannya antara lima dan enam peratus bagi tahun ini.

Mengenai prospek dividen, Abdul Rahman berkata mengumumkan kumpulan itu akan terus mengekalkan dasarnya antara 40 dan 60 peratus serta dividen interim berdasarkan nisbah pembayaran 50 peratus.

Di peringkat serantau, Indonesia, Thailand dan Singapura telah menyumbang kepada prestasi positif kumpulan pada separuh pertama 2022.

"Di sinilah kami mula melihat manfaat daripada strategi kepelbagaian ASEAN yang telah dimulakan oleh CIMB yang mana kami membentuk semula portfolio kami terutamanya di Indonesia dan Thailand," katanya.

Kumpulan itu juga telah mencapai sasaran untuk menggerakkan RM30 bilion dalam kewangan mampan, iaitu dua tahun lebih awal daripada sasaran awal.

-- BERNAMA