KUALA LUMPUR: MY E.G Services Bhd (MYEG) mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM78.46 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2021 daripada RM70.74 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Perolehan meningkat kepada RM156.80 juta berbanding RM136.10 juta sebelum ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu menyatakan keuntungan bersih dan perolehan yang lebih tinggi itu disumbangkan antaranya oleh perkhidmatan konsesi baharunya, iaitu pembaharuan insurans motosikal dan cukai jalan motosikal secara dalam talian serta pembaharuan Lesen Memandu Kompeten secara dalam talian.

Prestasi yang lebih memberangsangkan itu turut disumbangkan oleh perkhidmatan komersial baharunya iaitu saringan kesihatan COVID-19, perkhidmatan berkaitan kuarantin iaitu MySafeTravel dan MySafeQuarantine, serta peningkatan jualan barangan runcit melalui kedai dalam talian "Nak Beli."

Pendapatan asas sesaham meningkat kepada 1.1 sen berbanding satu sen sebelum ini.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2021, MYEG berharap untuk terus memperkenalkan perkhidmatan inovatif dengan memanfaatkan teknologi baharu di Malaysia serta di negara-negara ia beroperasi untuk mendorong pertumbuhan organik pada tahun berkenaan.

"Pandemik COVID-19 telah memberi kesan buruk kepada ekonomi di seluruh dunia dan Malaysia juga tidak terkecuali. Walaupun pandemik ini masih berlanjutan, kami optimis bahawa perniagaan kami akan terus berdaya tahan di samping tetap peka dengan peluang-peluang baharu.

"Lembaga pengarah optimis, namun berhati-hati bahawa prospek jangka panjang MYEG kekal positif kerana kami terus memperkenalkan perkhidmatan inovatif di Malaysia dan di negara-negara lain yang menggunakan perkhidmatan serantau kami," katanya.

-- BERNAMA