PETALING JAYA: Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) mencatatkan keuntungan bersih selepas cukai dan zakat sebanyak RM28.9 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 iaitu peningkatan sebanyak 26.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata ia disebabkan hasil sumbangan logistik dan bahagian pengedaran apabila produk baharu telah ditambah ke dalam senarai pembelian produk yang diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM).

Jelasnya, bagi pendapatan sebelum cukai dan zakat pula, Pharmaniaga berjaya mencatatkan peningkatan 18.8 peratus  kepada RM37.8 juta daripada RM31.5 juta sebelumnya.

"Purata keuntungan yang lebih tinggi itu didorong oleh peningkatan hasil sebanyak 21.3% kepada RM962.2 juta daripada RM793.5 juta pada suku tahun yang sama sebelumnya," katanya dalam Taklimat Media  Prestasi Kewangan Suku Pertama 2022 di Royale Chulan,Petaling Jaya pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Mohamed Iqbal Abdul Rahman; Pengarah Eksekutif Pharmaniaga, Zulkifli Jafar dan Ketua Pegawai Kewangan Pharmaniaga, Norai'Ni Mohamed Ali.

Sementara itu, Zulkarnain berkata Pharmaniaga akan memperluaskan kehadiran pasarannya di peringkat antarabangsa dalam tempoh dua hingga tiga tahun selain turut mengukuhkan kedudukannya di Indonesia.

Katanya, ia meliputi United Kingdom (UK), Turki selain Asia Barat dan Afrika Utara (MENA).

“Untuk pasaran di UK, kita dalam proses libat urus dengan Laporan Perbelanjaan Kesihatan Nasional (MNHA) di sana. Pada masa sama, kita juga menyeru Agensi Perundangan Perubatan dan Penjagaan Kesihatan (MHRA) untuk menjalankan pemeriksaan pelan kami ini. Kita sasarkan pasaran di UK akan mula diterokai dalam tempoh dua hingga tingga tahun lagi,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, benua Afrika dilihat mempunyai potensi besar untuk pembekalan vaksin COVID-19 susulan kadar pengambilan vaksinnya masih rendah meskipun penduduknya melebihi 1.3 billion orang.

Ia sekali gus ujarnya, dapat meningkatkan pencapaian prestasi Pharmaniaga jika berjaya menembusi pasaran vaksin COVID-19 di benua itu.

Pada masa sama, Zulkarnain berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan rakan strategik dalam penghasilan vaksin penyakit tangan, kaki, dan mulut (HFMD) yang akan dikormesialkan pada tahun 2024.

Selain itu, mengenai harga Bahan Farmaseutikal Aktif (API), Zulkarnain berkata, kumpulannya masih mempunyai stok penimbal tiga hingga enam bulan.

Katanya, pihaknya kini mempunyai tiga pembekal dan tidak hanya bergantung kepada satu pembekal bagi API.