KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengumumkan mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar dalam masa terdekat selepas menerima kelulusan Kabinet.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, mekanisme itu kini di fasa terakhir kajian dan akan dibentangkan ke Kabinet bagi mendapatkan kelulusan.

"Kita masih lagi dalam kajian untuk petrol dan elektrik, adakah mekanisme terbaik supaya golongan yang memerlukan menerima bantuan dan golongan yang tidak layak tidak menerima bantuan.

"Mekanisme ini penting supaya pelaksanaan nanti lancar dan tidak berlaku yang mana golongan layak tetapi tidak terima," kata beliau dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI di Forum Ekonomi Dunia (WEF 2022) di Davos, Switzerland.

Terdahulu Tengku Zafrul memaklumkan, subsidi yang dibelanjakan melonjak kepada paras RM71 bilion tahun ini berbanding RM30 bilion bagi mengawal inflasi semasa.

"Subsidi dari segi angka, biasanya kita beri subsidi sehingga RM30 bilion, tahun ini jadi RM71 bilion, kerana itu inflasi masih rendah iaitu pada kadar dua peratus, tetapi inflasi makanan sebenarnya naik empat peratus.

"Ya, benar mengenai bakul makanan, jadi kumpulan yang lebih rentan jelas akan menghadapi cabaran yang lebih besar, bakul makanan jauh lebih tinggi dan ini adalah purata penggunaan isi rumah ketika inflasi.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan persetujuan untuk melaksanakan subsidi bersasar selepas data menunjukkan daripada RM1 subisidi, RM0.53 pergi ke golongan kaya manakala hanya RM0.15 pergi ke golongan B40.