SHANGHAI: Yahoo mengumumkan penamatan perkhidmatannya di China disebabkan persekitaran perniagaan dan perundangan yang semakin mencabar’, menandakan jenama teknologi Barat kedua yang berbuat demikian dalam sebulan ini.

Yahoo menghentikan akses kandungan bagi pengguna di China bermula 1 November, menurut kenyataan yang disiarkan di laman webnya, yang turut mengarahkan pengguna Yahoo dan emel AOL beralih ke pautan lain.

Dalam emel kepada Reuters, jurucakap Yahoo memberitahu, ‘’Sebagai memaklumi persekitaran perniagaan dan perundangan yang semakin mencabar di China, suit perkhidmatan Yahoo tidak lagi boleh diakses dari tanah besar China bermula 1 November’’.

"Yahoo kekal komited terhadap hak pengguna kami dan kebebasan serta keterbukaan internet. Kami mengucapkan terima kasih kepada para pengguna kami atas sokongan mereka.’’

Tindakan Yahoo itu menyusul langkah Microsoft Corp, yang `menutup’ LinkedIn di China pada bulan lepas, menandakan pengunduran rangkaian sosial utama milik Amerika Syarikat di China. LinkedIn memberi alasan ‘’persekitaran operasi lebih mencabar dan keperluan pematuhan perundangan lebih besar di China’’.

Yahoo sebenarnya, sudah mengurangkan kehadirannya di China sejak beberapa tahun lalu dan sebelum 1 November, ia masih mengendalikan aplikasi cuaca dan beberapa halaman yang memaparkan artikel berita dalam bahasa asing.

Yahoo memasuki China pada 1998 dan pada 2012 mengadakan urus niaga dengan  Alibaba Group untuk menjual sahamnya dalam gergasi e-dagang tersebut. Urus niaga itu juga menyaksikan Alibaba memegang hak untuk mengendalikan Yahoo China di bawah jenama Yahoo sehingga tempoh empat tahun.

Yahoo China kemudiannya menamatkan perkhidmatan emel dan portal web tetapi mengekalkan pusat penyelidikan dan pembangunan globalnya di Beijing sehingga ditutup pada 2015.

Penutupan tersebut pula susulan tindakan Beijing menguatkuasakan larangan baharu terhadap syarikat internet daripada segi kandungan sehingga privasi pelanggan, selain pengenalan undang-undang baharu.

Pada Isnin lalu, sebuah undang-undang baharu dinamakan Perlindungan Maklumat Peribadi bagi melindungi privasi data pengguna dalam talian, dikuatkuasakan oleh China.

Pada Mei lalu, Verizon Communications menjual Yahoo dan perniagaan medianya yang lain kepada firma ekuiti persendirian, Apollo Global dalam urus niaga bernilai AS$5 bilion.

Laman web Engadget berbahasa China, yang juga terlibat dalam penjualan itu, tidak dapat diakses pada Selasa dan hanya dinyatakan di dalam pengumuman Yahoo bahawa ia tidak lagi menyediakan kandungan bagi pengguna di tanah besar China.

* Artikel asal disiarkan di DagangNews.com.