KUALA LUMPUR: Satu daripada enam orang dewasa di seluruh dunia pernah mengalami kemandulan sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka.

Perkara itu dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu laporan sekaligus menggesa negara-negara untuk secara aktif mengumpul data yang lebih konsisten mengenai penyakit itu.

WHO menganggarkan kira-kira 17.5 peratus orang dewasa di seluruh dunia terjejas akibat masalah ketidaksuburan dan mendapati sedikit variasi antara wilayah serta negara kaya dan miskin.

Menurut laporan itu, kira-kira 17.8 peratus orang dewasa di negara berpendapatan tinggi pernah mengalami kemandulan sekurang-kurangnya sekali dan kira-kira 16.5 peratus orang dewasa di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Laporan itu menganalisis kajian sedia ada yang dijalankan dari 1990 hingga 2021.

Laporan itu mengambil kira beberapa pendekatan penyelidikan.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, sebahagian besar orang yang terjejas menunjukkan keperluan untuk meluaskan akses kepada penjagaan kesuburan dan memastikan isu ini tidak lagi diketepikan dalam penyelidikan dan dasar kesihatan.

"WHO mentakrifkan ketidaksuburan sebagai penyakit sistem pembiakan lelaki atau wanita yang ditakrifkan oleh kegagalan untuk mencapai kehamilan selepas 12 bulan atau lebih apabila melakukan hubungan seksual tanpa perlindungan.

"Laporan itu yang pertama seumpamanya dalam sedekad mendedahkan 'kebenaran penting: ketidaksuburan tidak mendiskriminasi'," katanya.

Laporan itu menyerlahkan keperluan negara-negara mengumpul dan berkongsi data yang konsisten tentang ketidaksuburan, dipisahkan mengikut umur dan punca serta maklumat tentang mereka yang memerlukan penjagaan reproduktif.