ANKARA: Konflik Rusia-Ukraine memaksa 10 juta penduduk meninggalkan kediaman mereka, lapor Agensi Anadolu memetik ketua agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Perang di Ukraine sangat dahsyat sehingga 10 juta orang melarikan diri - sama ada berpindah di dalam negara, atau menjadi pelarian di luar negara," ciap Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi pelarian Filippo Grandi di Twitter pada Ahad.

"Antara tanggungjawab pihak yang melancarkan perang, di mana sahaja di dunia, adalah penderitaan yang ditanggung orang awam kerana terpaksa meninggalkan rumah mereka."

Menurut data PBB, hampir 3.4 juta pelarian meninggalkan Ukraine sejak perang tercetus pada 24 Feb lepas dengan lebih 2 juta diterima oleh negara jiran Poland, hampir 530,000 oleh Romania dan lebih 362,000 oleh Moldova.

Kira-kira 6.5 juta dianggarkan menjadi pelarian domestik di negara itu.

Perang itu telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 847 orang awam dan menyebabkan kira-kira 1,400 cedera di Ukraine, kata PBB, sambil menegaskan bahawa angka sebenar mungkin lebih tinggi kerana keadaan di lapangan menyukarkan pengesahan.

-- BERNAMA