SEOUL: Kira-kira 1,000 orang dipindahkan selepas seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an mengugut untuk meletupkan Kompleks Sukan Jamsil di selatan Seoul pada Ahad.

Lelaki itu mendakwa sebagai pejuang Daish dan memuat naik satu catatan di internet mendakwa dia akan meletupkan tiga bom di kompleks sukan itu, menurut agensi berita Yonhap memetik Balai Bomba Seoul Songpa.

Laporan polis mengenai ancaman itu dibuat pada 10:19 pagi, kata pegawai.

Sebanyak 14 kenderaan dan 58 anggota polis dikerah memindahkan kira-kira 1,000 peserta yang sedang membuat persiapan bagi sambutan Seoul Festa, iaitu festival pelancongan tahunan, di kompleks itu. Turut dibawa keluar ialah pemain besbol pofesional pasukan LG Twins yang menjalani latihan di kompleks itu, menurut laporan itu lagi.

Polis melakukan siasatan menyeluruh di kompleks itu tetapi tidak menemui sebarang bahan letupan.

Polis mengesahkan bahawa seorang lelaki berusia 20-an yang tinggal di Goyang, utara Seoul, membuat hantaran itu selepas menjejaki alamat IP, tetapi tiada sebarang tangkapan dibuat memandangkan dia mengalami masalah mental.

-- BERNAMA