GENEVA: Seramai 10,000 kanak-kanak terbunuh atau mengalami kecacatan akibat konflik di Yaman sejak tahun 2015.

Perkara itu berlaku sejak gabungan tentera diketuai Arab Saudi campur tangan pada Mac 2015 apabila kumpulan pemberontak Houthi yang berpihak kepada Iran menggulingkan kerajaan.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menyifatkan, konflik di Yaman mencapai satu tahap yang memalukan.

Jurucakap UNICEF, James Elder dalam taklimat PBB di Geneva menyatakan data itu bersamaan dengan empat orang kanak-kanak yang terbunuh atau cacat setiap hari.

Beliau turut menambah terdapat banyak lagi kematian atau kecederaan kanak-kanak yang tidak dilaporkan.

Selain itu, Elder menjelaskan empat daripada setiap lima kanak-kanak daripada 11 juta populasinya memerlukan bantuan kemanusiaan di Yaman sementara 400,000 menderita kekurangan zat makanan dan lebih daripada dua juta tidak bersekolah.

Usaha yang dipimpin PBB untuk genjatan senjata di seluruh Yaman terhenti selepas Arab Saudi dan Houthi tidak mahu berkompromi untuk mengakhiri perang enam tahun yang digambarkan sebagai krisis kemanusiaan terbesar di dunia.

Ratusan rakyat Yaman terperangkap dalam pertempuran sengit antara kerajaan dan kumpulan Houthi di wilayah utara Marib minggu lalu dalam usaha menguasai wilayah yang kaya dengan gas dan menempatkan 10,000 pelarian.