KIEV: Sekurang-kurangnya 17 orang maut dan puluhan lain cedera dalam serangan tentera Rusia di bandar Zaporizhzhia.

Gabenor serantau Ukraine di Zaporizhzhia, Oleksandr Starukh, berkata 12 peluru berpandu Rusia memusnahkan sebahagian bangunan sembilan tingkat dan lima bangunan pangsapuri.

Difahamkan, dianggarkan 40 orang dikejarkan ke hospital, sementara puluhan yang lain dirawat kerana mengalami kecederaan.

Tentera Ukraine mengesahkan serangan itu dan mengatakan terdapat puluhan lain terkorban.

Serangan itu merupakan serangan berulang kali dalam beberapa minggu apabila Rusia kembali menyerang kawasan bandar selepas mengalami kekalahan di selatan dan timur laut Ukraine.

Presiden Ukraine, Vladimir Zelensky menyifatkan serangan itu sebagai “serangan berulang tanpa belas kasihan ke atas rakyat” serta benar-benar biadab.