ACEH: Kira-kira 184 pendatang Rohingya dilaporkan tiba di wilayah Aceh, Indonesia pada Ahad, selepas hanyut di laut selama berminggu-minggu.

Bot membawa pelarian Rohingya, termasuk seorang wanita mengandung dan kanak-kanak berlabuh di Pantai Kuala Gigieng.

Nelayan pada Sabtu mendakwa telah melihat tiga kapal kayu dipercayai membawa pelarian Rohingya di perairan Indonesia, namun, hanya satu bot dilaporkan tiba mendarat.

Menurut wakil Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Bagi Pelarian (UNHCR), Diovio Alfath, pihaknya akan membuat penilaian mengenai status pelarian mereka sebelum mengambil tindakan lanjut.

Sementara itu, menurut seorang daripada pelarian Rohingya yang tiba yang dikenali sebagai Faisal, mereka telah berlayar dan berada di dalam kapal kayu itu selama 27 hari iaitu sejak berlayar dari Bangladesh.

Tahun lalu, lebih 500 pelarian Rohingya tiba di Aceh dengan kapal kayu, termasuk yang terbaharu pada 26 Disember lalu membawa kira-kira 185 pendatang Rohingya.

Lebih 1 juta Muslim Rohingya melarikan diri daripada penindasan di Myanmar sejak 2017 dan kebanyakan mereka masih berada di kem pelarian di Bangladesh.