Sekumpulan penembak yang tidak dikenali melepaskan tembakan pada perarakan Hari Ibu di New Orleans pada Ahad mengakibatkan 19 orang cedera.

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dalam satu kenyataan menafikan insiden ada kaitan dengan kegiatan "kumpulan pengganas" sebaliknya mengaitkannya sebagai "keganasan jalanan."

Jurucakap polis tempatan Garry Flot berkata maklumat lanjut mengenai kejadian tersebut masih tidak jelas.

Mereka yang cedera sejurus tembakan dilepaskan pada awal tengah hari itu termasuk 17 orang dewasa dan dua orang kanak-kanak berusia 10 tahun, kata jabatan polis tempatan dalam satu kenyataan.

“Ramai mangsa yang tercedera terkena peluru yang melantun,” dia berkata. “Setakat ini tiada kematian dan kebanyakkan kecederaan tidak membahayakan nyawa.”

Kanak-kanak yang cedera – seorang lelaki dan perempuan mengalami calar-calar dan dalam keadaan yang baik manakala seorang lelaki dan perempuan terpaksa menjalani pembedahan lewat hari Ahad.

Supritenden Jabatan Polis New Orleans Ronal Serpas memberitahu wartawan, tembakan berkemungkinan dilepaskan dari dua jenis senjata yang berbeza dan sejurus tembakan dilepaskan, pegawai polis melihat tiga orang melarikan diri.”

“Pada masa ini, tiada petunjuk siapa akan merosakkan acara hari ini,”

“Kami tidak mengetahui mengapa penembak bertindak demikian dan mula menembak ke arah orang ramai,” kata Serpas. “Ia berakhir hanya dalam beberapa saat.”

Surat khabar Times-Picayune memetik kenyataan Serpas bahawa terdapat 300 hingga 400 peserta dalam perarakan itu dan lebih 200 orang dalam kawasan tembak menembak.

Polis sedang menyiasat motif kejadian tersebut dan meminta orang ramai tampil mengenai sebarang maklumat. Ganjaran wang tunai untuk tangkapan meningkat dari $2,500 kepada $10,000.

“Ia merupakan hari yang tragis bagi kita,” kata Datuk Bandar New Orleans Mitch Landrieu selepas melawat mereka yang cedera.

Beliau menggesa rakyat untuk membantu “supaya mereka yang terlibat dapat diberkas dan tidak akan mencederakan mereka yang tidak bersalah lagi.”