BRASILIA: Sekurang-kurangnya dua maut manakala puluhan yang lain masih hilang dalam kejadian tanah runtuh di sebuah lebuh raya di selatan Brazil pada Rabu.

Tanah runtuh yang menggelongsor ke lebuh raya BR-376 di negeri Parana itu turut menghanyutkan sekurang-kurangnya 16 kenderaan.

Pekerja penyelamat di tempat kejadian berkata cuaca buruk dan lokasi terpencil menyukarkan usaha mencari dan menyelamat.

Pihak berkuasa tempatan dalam satu sidang akhbar memaklumkan mangsa yang masih hilang dipercayai di antara 30 dan 50 orang.

Perkhidmatan kecemasan berjaya mengesan enam mangsa yang terselamat, termasuk datuk bandar pantai Guaratuba, Roberto Justus.

"Sangat mengerikan.

"Gunung itu terus menimpa kami dan menghanyutkan setiap kenderaan," kata Justus.

Imej dari udara yang dikeluarkan perkhidmatan kecemasan menunjukkan kerosakan akibat tanah runtuh yang memusnahkan sebahagian lebuh raya.

Terdapat kebimbangan kemungkinan akan berlaku lagi tanah runtuh dengan perkhidmatan cuaca nasional INMET mengeluarkan amaran hujan lebat di beberapa negeri di Brazil.