Hampir 20,000 produk gergasi tenusu Perancis, Lactalis, yang disyaki dicemari bakteria salmonela, telah memasuki pasaran Vietnam, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Jabatan Am Kastam Vietnam.

Agensi berkaitan di Vietnam kini memanggil balik produk susu formula Lactalis kerana dikhuatiri dicemari bakteria salmonela.

Antara produk susu Lactalis utama yang dijual di pasaran Vietnam ialah Celia Mama untuk wanita hamil serta Celia Expert untuk bayi dan kanak-kanak.

Lactalis, antara pengeluar produk tenusu terbesar di dunia, berkata pada pertengahan Disember hampir 7,000 tan produk dikhuatiri tercemar.

Sehubungan itu, ia telah mengambil langkah untuk menyahjangkit kemudahan di sebuah loji syarikat itu di barat laut Perancis, yang dipercayai menjadi sumber pencemaran salmonela.

Kesemua 26 kanak-kanak yang jatuh sakit di Perancis serta mempunyai kaitan dengan produk Lactalis telah pulih, menurut pihak berkuasa kesihatan Perancis.

Gejala biasa jangkitan salmonela ialah cirit-birit.

-- BERNAMA