SERAMAI 20 orang maut selepas gempa bumi berukuran 5.6 magnitud menggegarkan wilayah barat Indonesia di Jawa Barat pada Isnin.

Memetik laporan Reuters, seorang pegawai kerajaan tempatan di Bandar Cianjur, Herman Suherman berkata, lebih 300 yang lain mengalami kecederaan di bandar itu.

“Ini hanya daripada sebuah hospital dan terdapat empat hospital di Cianjur,” katanya, memberi bayangan bahawa angka kematian dan kecederaan boleh meningkat.

Agensi Bencana Kebangsaan Indonesia bagaimanapun melaporkan 14 kematian, buat masa ini.

Gempa berlaku pada 13.21 waktu tempatan (0621 GMT) dengan pusat gempa terletak 10 kilometer (km) dari barat daya daerah Cianjur di wilayah Jawa Barat dengan kedalaman 10 km.

Gegaran kuat yang dirasai di Jakarta menyebabkan penduduk bergegas keluar dari rumah dan bangunan.