SEKURANG-kurangnya 23 orang terbunuh dan puluhan lagi cedera selepas ribut petir yang dan angin kencang serta puting beliung melanda Mississippi, Amerika Syarikat (AS) lewat Jumaat.

Menurut pihak berkuasa, puting beliung itu juga menyebabkan ratusan rumah musnah dalam bencana itu.

Dilaporkan, empat orang hilang berikutan ribut itu yang meninggalkan kesan kerosakan selama lebih 161 kilometer.

Puting beliung melanda Silver City, sebuah bandar berpenduduk 200 orang di barat Mississippi serta Rolling Fork dengan populasi 1,700 orang yang paling teruk terjejas.

Sebahagian negeri kekal di bawah amaran puting beliung.

Menurut Gabenor Mississippi Tate Reeves, sekurang-kurangnya 23 rakyat Mississippi terbunuh disebabkan puting beliung itu.

Katanya, pasukan mencari dan menyelamat masih aktif menjalakan kerja-kerja penyelamatan.

Reeves mengisytiharkan darurat di kawasan yang terjejas yang menurutnya akan terus berkuat kuasa sehingga masa ancaman terhadap keselamatan awam tidak lagi wujud.

Reeves yang melawat Silver City berkata, permintaan untuk pengisytiharan bencana besar telah dikemukakan sambil menambah bahawa skala kerosakan dan kerugian adalah jelas.

Sementara itu, Presiden Joe Biden menyifatkan imej dari Mississippi sebagai "menyayat hati" dan berkata dalam satu kenyataan bahawa beliau telah bercakap dengan Reeves dan mengucapkan takziah dan sokongan penuh persekutuan untuk proses pemulihan.

Dalam pada itu, Pengarah Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA), Deanne Criswell berkata, beliau akan pergi ke Mississippi dan berikrar untuk memproses dengan pantas permintaan untuk mengisytiharkan kawasan puting beliung sebagai bencana besar bagi membolehkan sokongan penuh persekutuan sekarang dan dalam jangka panjang.