25,000 kanak-kanak jadi yatim piatu akibat konflik Gaza

Bernama
Januari 29, 2024 07:39 MYT
Kanak-kanak di Gaza kehilangan ibu atau bapa atau kedua-duanya sejak 7 Okt iaitu hari pertama Israel memulakan operasi ketenteraan di Semenanjung Gaza. -Gambar fail/Reuters
TEHRAN: Seramai 25,000 kanak-kanak Palestin menjadi yatim piatu akibat serangan berterusan Israel di wilayah terkepung itu, menurut Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Mediterranean.
Agensi Berita Iran (IRNA) yang memetik Agensi Berita Sama Palestin melaporkan, kanak-kanak di Gaza telah kehilangan ibu atau bapa atau kedua-duanya sejak 7 Okt lepas iaitu hari pertama Israel memulakan operasi ketenteraan di Semenanjung Gaza.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan Gaza mengumumkan bilangan kematian penduduk Palestin akibat pengeboman Israel di Gaza telah meningkat kepada 26,422 orang manakala 65,087 lagi cedera.
Serangan berterusan tentera penceroboh ke atas bangunan kediaman, kem-kem pelarian dan hospital kini telah memasuki hari ke-115 dengan menyebabkan pelbagai kesengsaraan kepada penduduk Gaza.
-- BERNAMA
#Gaza #Israel #Palestin #Kanak-kanak