NEW YORK: Ribut salji kuat yang melumpuhkan barat New York pada hujung minggu Krismas telah meragut sekurang-kurangnya 25 nyawa setakat Isnin.

Pihak berkuasa daerah Buffalo memberitahu, jumlah kematian berkaitan ribut di daerah itu telah melonjak sebanyak 12 semalam.

Angka korban termasuk kes orang yang ditemui maut di tebing salji, di dalam kereta mereka atau yang telah meninggal dunia akibat serangan jantung semasa membajak salji.

Pihak berkuasa menjangkakan angka kematian akan meningkat dalam beberapa hari ini.

Sekurang-kurangnya 55 orang maut dalam insiden berkaitan cuaca di Amerika Syarikat (AS) sejak akhir minggu lalu.

Ribut salji itu telah menyebabkan perjalanan merentasi AS pada hujung minggu mengalami gangguan dengan penumpang terkandas apabila beribu-ribu penerbangan dibatalkan.

Ribut salji di kawasan Buffalo terburuk dalam tempoh 45 tahun itu terbentuk lewat pada Jumaat lalu dan melanda barat New York pada hujung minggu cuti Krismas.

Buffalo menjadi salah satu tempat paling teruk dilanda ribut dengan hampir 127 sentimeter salji direkodkan di lapangan terbang Buffalo setakat pagi Isnin.