MOSCOW: Kesatuan Eropah (EU) bersedia untuk memberikan secara rasmi status calon kepada Ukraine minggu ini, lapor Sputnik.

Menurut laporan Bloomberg yang memetik sumber, ia dibuat susulan mesyuarat duta-duta EU pada Isnin dengan semua pihak menyokong keputusan itu.

Suruhanjaya Eropah minggu lepas mengesyorkan agar Ukraine diberikan status itu, sebagai langkah pertama untuk menuju ke arah keahlian EU, dengan syarat Kiev perlu memperjuangkan isu yang berkaitan dengan kedaulatan undang-undang, keadilan dan antirasuah.

Pemimpin EU akan bertemu di Brussels pada 23-24 Jun. Keputusan muktamad untuk memberikan status itu kepada Ukraine, Moldova dan Georgia, dan sebarang syarat yang ditetapkan, perlu diluluskan oleh semua ahli sebelum dimuktamadkan.

"Sekarang adalah masa untuk mengakui bahawa masa depan Ukraine, Moldova dan Georgia terletak dalam EU," lapor agensi berita itu memetik Presiden Majlis Eropah Charles Michel dalam surat jemputan kepada para pemimpin ke sidang kemuncak minggu ini.

--BERNAMA