37 dipercayai maut dalam kebakaran di pusat beli belah di Selatan Filipina

Agensi
Disember 24, 2017 09:55 MYT
Kebakaran di pusat beli belah di Bandar Davao, Filipina berlarutan lebih 24 jam - Foto Reuters
Sekurang-kurangnya 37 orang dilaporkan terbunuh dalam kebakaran di sebuah pusat beli belah di Bandar Davao, Selatan Filipina pada Sabtu.
Menurut Naib Datuk Bandar Davao, Paolo Duterte, harapan untuk menyelamatkan kesemua mangsa adalah tipis.
Kebakaran pusat beli belah empat tingkat itu bermula pada Sabtu dan berlarutan sehingga pagi Ahad.
Ia dilaporkan bermula di tingkat empat pusat beli belah NACC yang menempatkan ruang niaga barangan fabrik, perabot kayu dan plastik, sebelum ia merebak dengan pantas ke tingkat lain.
Jurucakap polis daerah, Ralph Canoy berkata, siasatan awal polis mendapati kesemua mangsa yang terbunuh dipercayai terperangkap di pusat panggilan di pusat beli belah itu yang beroperasi 24 jam.
"Ketika kejadian, kesemua mangsa yang terbunuh dipercayai sedang bekerja. Harapan untuk mereka hidup adalah terlalu tipis kerana kebakaran itu berlarutan lebih 24 jam," katanya.
#Davao #Filipina #kebakaran #mati #pusat beli belah #terbakar