39 bayi maut di Hospital Al-Shifa akibat kekurangan oksigen

Bernama
November 11, 2023 12:48 MYT
Hospital itu yang terletak di Semenanjung Gaza terjejas teruk akibat serangan Israel baru-baru ini. - AP
GAZA: Kementerian Kesihatan Palestin dalam satu kenyataan pada Sabtu mendedahkan 39 bayi meninggal dunia di unit rawatan rapi Hospital Al-Shifa Gaza akibat kekurangan oksigen.
Hospital itu yang terletak di Semenanjung Gaza terjejas teruk akibat serangan Israel baru-baru ini, lapor Agensi Anadolu.
Serangan darat dan udara oleh Israel di Hospital Al-Shifa dan kawasan berhampiran berlanjutan selama enam jam, menurut saluran televisyen Palestin.
Pada Jumaat, pesawat Israel memperhebat serangan ke atas hospital di Semenanjung Gaza, termasuk sekitar Hospital Al-Shifa, Hospital Indonesia, Hospital Al-Awda, Hospital Al-Quds dan Hospital Kanak-Kanak Al-Rantisi.
Sekurang-kurangnya 11,078 rakyat Palestin telah terbunuh, termasuk 4,506 kanak-kanak dan 3,027 wanita setakat ini.
-- BERNAMA
#Hospital Al-Shifa #Gaza #Palestin #bayi meninggal dunia