DAKAR: Sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam nahas dua bas di Senegal pada Ahad.

Nahas dilapor berlaku di Jalan Nasional No. 1 apabila sebuah bas awam yang mengalami kerosakan tayar terbabas ke seberang jalan, lalu bertembung dengan bas lain yang datang dari arah bertentangan.

Sekurang-kurangnya 78 orang cedera, sebahagian daripada mereka parah.

Foto nahas yang tular di media sosial menunjukkan kedua-dua bas merempuh satu sama lain meninggalkan kesan serpihan di sepanjang jalan.

Presiden Macky Sall dalam tweet terbaharunya berkata nahas berlaku di kampung Gnivy, di wilayah Kaffrine, tengah Senegal kira-kira jam 3:30 pagi.

“Saya amat bersedih dengan nahas jalan raya yang begitu tragis hari ini di Gniby, yang menyebabkan 40 kematian dan banyak kecederaan serius.

"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka yang cedera cepat sembuh,” kata Sall.

Beliau mengisytiharkan tiga hari berkabung mulai Isnin dan berjanji akan mengadakan pertemuan antara kementerian untuk membincangkan langkah keselamatan jalan raya.

Kemalangan jalan raya kerap berlaku di Afrika Barat kerana keadaan jalan yang teruk, kenderaan usang dan pemandu tidak mematuhi peraturan.